PONTIAN - Tiada kata yang dapat diluahkan bagi menggambarkan rasa syukur, apabila perjuangan membela nasib nelayan yang terjejas dengan penambakan benteng pemecah ombak diberi perhatian oleh kerajaan negeri menerusi bayaran sagu hati berjumlah RM1.3 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan Tanjung Piai, Mansor Maidin berkata, jalan penuh berliku terpaksa ditempuh bagi memastikan nasib kira-kira 454 nelayan dari enam pangkalan di sekitar Tanjung Piai terbela.

Menurutnya, pertemuan dengan Menteri Besar berulang kali diadakan pihak jawatankuasa selepas isu penambakan benteng pemecah ombak timbul sejak empat tahun lalu.

“Sedih rasanya bila kenang jalan berliku yang terpaksa ditempuh. Nelayan di sini mahu suara mereka didengar. Jadi kami gunakan saluran melalui jawatankuasa bertindak nelayan yang ditubuhkan.

“Tidak silap sudah hampir enam kali kami ke Iskandar Puteri untuk bertemu sendiri dengan Menteri Besar.

“ Kami gembira dengan respons baik diberikan, di mana Menteri Besar juga ada juga ada turun ke kawasan kami di sini,” katanya ketika ditemui selepas Penyerahan Ex-Gratia Nelayan Johor Selatan bagi Dun Kukup, di Kompleks Penghulu Serkat di sini, hari ini.

Beliau berkata, perjuangan membela nasib nelayan dari enam pengkalan yang terjejas dengan penambakan benteng pemecah ombak akan diteruskan dengan membawa isu berkenaan ke peringkat kerajaan pusat.

Katanya, enam pangkalan nelayan tersebut ialah Pangkalan Nelayan  Tanjung Piai, Pangkalan Nelayan Kukup, Pangkalan Nelayan Perpat, Pangkalan Nelayan Sungai Dian, Pangkalan Penghulu dan Pangkalan Melayu Kukup Laut.

“Pada bulan April lalu, pihak jawatankuasa pergi ke Putrajaya bagi bertemu dengan wakil kementerian berkaitan. Alhamdulillahlah ada tindak balas.

“Nelayan di sini harap ada pembelaan sewajarnya dari kerajaan pusat selain bayaran pampasan diberikan. Ini kerana kawasan tangkapan nelayan di sini sudah hilang akibat penambakan benteng pemecah ombak,” katanya.

Mansor berkata, pemberian sagu hati sRM3,000 kepada setiap nelayan amat membantu berikutan hasil tangkapan yang  sedikit disebabkan kawasan tangkapan di tengah laut ditambak bagi pembinaan benteng pemecah ombak.

“Terima kasih dan syukur di atas keprihatinan kerajaan negeri membantu golongan nelayan di Tanjung Piai,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Seorang nelayan yang juga orang kurang upaya (OKU) menganggap dirinya sangat bertuah apabila seekor ikan pari harimau seberat 120 kilogram (kg) tersangkut pada jaringnya di perairan Chuah berhampiran Pengkalan Nelayan Kuala Lukut sekitar jam 11.30 pagi tadi.
  • PULAU CAREY - Sesuai dengan nama, itulah yang boleh digambarkan kepada seorang nelayan Kampung Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey , Selamat anak Ikin,42, ketika ditemui di rumahnya hari ini.
  • YAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia meminta agar jangan ditular berita palsu kononnya kesemua nelayan yang hilang di Pulau Bunting di sini Ahad lalu telah ditemukan.
  • KEMAMAN - Kerakusan nelayan Vietnam menangkap gamat secara haram terus dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Timur apabila dua lagi bot dari negara itu ditangkap bersama 11 nelayan semalam.
  • KUALA LANGAT - Pengalaman hanyut di tengah lautan dengan hanya berpaut pada tong minyak dan lunas sampan selama kira-kira empat jam, memberikan pengalaman berharga buat dua rakan karib dalam mengenal erti persahabatan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.