PONTIAN - “Kedua-dua anak saya itu bersungguh-sungguh hendak pergi bercuti di Cherating dan Cameron, tidak sangka pula itu adalah percutian terakhir bersama mereka,” kata Norhasimah Rahmat, 46, yang kehilangan anak, Muhammad Zulfakar Zainal Abidin, 22, dan Norfatin Atikah, 19,  dalam kemalangan jalan raya di KM27.4 di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) kira-kira jam 6.10 pagi pada Isnin lalu.

Norhasimah berkata, kedua-dua arwah anaknya itu menaiki motosikal dalam perjalanan menuju ke tempat kerja mereka di sebuah kilang elektronik di Senai selepas mereka sekeluarga selesai bercuti di Cherating dan Cameron Highlands.

“Kedua-dua arwah anak saya itu dah rancang percutian ini sejak dari bulan Disember lagi. Kedua-duanya berhajat hendak bawa ibu, ayah dan tiga orang adik mereka berusia 13 hingga 5 tahun pergi makan angin.

“Kami sekeluarga  bertolak dari rumah di Kampung Parit Bachok, Benut pada petang Jumaat dan tiba di Cherating pada sebelah malam. Percutian diteruskan ke Cameron Highlands sebelum kami  singgah ke rumah bapa saudara di Sungai Buloh,”katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, perjalanan pulang dari Sungai Buloh ke Pontian memakan masa agak panjang disebabkan kesesakan lalu lintas yang berlaku di lebuh raya.

“Kami tiba di Pontian kira-kira jam 2 pagi , kedua-dua arwah anak saya hanya sempat rehat kira-kira 3 jam sebelum mereka bertolak ke tempat kerja pada jam 5.30 pagi.

“Tapi saya tak sedap hati selepas mereka ke tempat kerja dengan menaiki motorsikal kerana biasanya naik kereta sebab jarak perjalanan antara Pontian dan Senai agak jauh,” katanya.

Bagaimanapun, Norhasimah berkata, dia cuba sedaya upaya untuk tidak memikirkan rasa itu sebelum tiga anggota polis datang ke rumahnya kira- kira jam 9 pagi memaklumkan kejadian kemalangan yang berlaku, sekali gus memintanya membuat pengecaman mayat di hospital.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan dua beradik dari Kampung Parit Bachok A, Benut maut selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar besi tengah pembahagi jalan sebelum salah seorang daripada mereka dilanggar sebuah kereta di KM 27.4 di Plus.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Muhammad Zulfakar yang menunggang Honda Wave 125 dengan adiknya dari arah utara hendak ke selatan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar besi tengah pembahagi jalan.

“Akibat dari kemalangan itu Muhammad Zulfakar terpelanting dan masuk ke dalam longkang ditengah-tengah antara besi pembahagi jalan, manakala Nurfatin Atikah telah terjatuh diatas jalan.

“Tiba-tiba, Ooi Kai Siang, 25 yang sedang memandu kereta jenis Honda Civic tiba di tempat kejadian gagal mengelak lalu melanggar Nurfatin Atikah,” katanya.

Dzulkhairi berkata, susulan itu, kereta dipandu pekerja swasta itu terbabas dan langgar besi tengah pembahagi jalan.

“Kes disiasat ikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.