KOTA TINGGI - Seorang pekerja Rapid maut selepas motosikal jenis Suzuki Shogun ditunggang terbabas dalam kemalangan yang berlaku di kilometer 11 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, pagi tadi.

Mangsa, Za'aba Oyob, 63 bekerja sebagai pemandu lori disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Teluk Ramunia.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian kira-kira jam 9.00 pagi itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.

"Akibat dari kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan dan dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Teluk Ramunia.

"Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan klinik akibat kecederaan dalaman. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,"katanya, hari ini.

Tambah Rahmat, hasil siasatan awal dan keterangan daripada saksi mendapati, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Sungai Rengit cuba memintas sebuah kenderaan lain namun gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan terjatuh di kawasan bahu jalan berbatu.

Katanya lagi, tiada kesan-kesan pelanggaran dikenal pasti. Tempat kejadian merupakan jalan lurus beralun tidak rata dan jalan dua hala serta mempunyai garisan putus-putus sebagai pembahagi jalan.

"Permukaan jalan kering. Kejadian berlaku pada waktu pagi dan keadaan cuaca baik. Kawasan persekitaran merupakan kawasan pembinaan dan ladang sawit. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya lagi.