KLUANG – Pas Johor mencadangkan agar nilai harga lantai bantuan sara hidup penoreh getah dan Insentif Pengeluar Getah (IPG) dilihat semula berdasarkan kos sara hidup semasa dan disekalikan dengan bantuan musim tengkujuh secara purata.

Pesuruhjayanya, Abdullah Hussin berkata, selain itu, cukai-cukai berkaitan hasil getah yang membebankan penoreh juga perlu ditangguh sehingga harga getah kembali stabil atau mencapai paras munasabah.

“Kerajaan perlu lebih serius melaksanakan industri hilir yang dapat memberi pendapatan tambahan kepada penoreh getah sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan terutamanya ketika musim tengkujuh.

“Setiap kampung yang terdapat majoriti penoreh getah juga perlu diwujudkan industri produk-produk kampung juga dan perlu mendapat kerjasama yang baik dengan agensi yang berkaitan bagi memasarkan produk-produk mereka,” katanya.

Beliau ditemui semasa menyampaikan bantuan kepada penoreh getah pada Program Sentuhan Prihatin Penoreh Getah di Kampung Batu 5 Sri Lalang, di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Kluang, Muhammad Faudzi Abdul Jalil; YDP Pas Kawasan Simpang Renggam, Ilias Ithnin dan Ketua Lajnah Kebajikan Pas Kawasan Ayer Hitam, Muhammad Abdullah

Menurutnya, sistem penyampaian yang lebih berkesan juga perlu diwujudkan agar penoreh boleh terus memberi maklum balas yang baik bagi memastikan pelaksanaan yang betul-betul menambah hasil getah.

“Sebab itu, hari ini (semalam) kami menyantuni penoreh-penoreh getah bermula di daerah Kluang kerana ingin mendengar sendiri rintihan mereka dan saya berharap sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka.

“Berkaitan kebajikan penoreh getah mengharungi kehidupan yang amat menekan, kami (Pas) memang memandang serius perkara ini dan berharap cadangan serta tindakan susulan ini diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, bagi penoreh getah, Mohd Zawawi Jaffar, pendapatannya merosot sehingga 50 peratus iaitu sekitar RM500 sebulan disebabkan kejatuhan harga getah yang berada di bawah paras RM2 selain faktor cuaca.

“Mujur saya mempunyai pendapatan lain kerana bekerja di pusat memandu dan jika hanya harapkan hasil getah, memang tak cukup untuk menampung keluarga saya selain saya mempunyai dua anak yang masih bersekolah termasuk seorang di universiti.

“Sebelum ini terdapat Bantuan Kejatuhan Harga Getah (BKHG) serta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT)  dan saya berharap kerajaan sekarang dapat teruskan bantuan ini kerana ini sedikit sebanyak membantu kami,” katanya.