KULAIJAYA – Selepas 36 tahun berulang-alik ke sekolah bagi mencurahkan khidmat dan baktinya, kelmarin adalah hari paling sedih bagi Mohd Sha’rani Sapari, 60, apabila beliau terpaksa melangkah keluar dari sekolah.

Ini kerana Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra (STARP) telah mencapai usia persaraan wajib dan tidak mudah baginya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pelajar yang dikasihinya.

Terdahulu, Mohd Sha’rani dirai 1,000 warga sekolah  yang  dimulakan dengan paluan kompang serta bunga manggar bagi menyambut ketibaan beliau bersama isterinya.

Lebih manis, beliau kemudiannya dihiburkan dengan persembahan guru dan pelajar sebelum diarak mengelilingi sekolah itu dengan menaiki kereta kuda yang ditempah khas sempena majlis penghargaan berkenaan.

Menurutnya, beliau terharu kerana telah diraikan dalam suasana penuh meriah, namun turut sedih apabila terpaksa meninggalkan profesion sebagai pendidik yang diminati itu.

“Peranan guru dewasa ini amat mencabar dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara pada masa depan yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan negara. Walaupun cabaran yang dihadapi guru amat besar, ia bukanlah alasan untuk berasa lemah.

“Guru juga adalah pencetus dan penggerak kepada transformasi pendidikan negara kerana tanpa iltizam dan semangat yang tinggi, hasrat untuk mendidik anak bangsa tidak akan tercapai.

Setiap insan yang dilahirkan mempunyai potensi yang unik dan guru adalah golongan terbaik bagi menggilap potensi yang tersembunyi dalam diri setiap pelajar.

“Sesungguhnya, guru yang berdedikasi tidak akan berasa putus asa dalam mendidik anak bangsa walaupun terpaksa berdepan dengan berbagai cabaran dan rintangan. Jika seseorang guru itu mampu memainkan peranan dalam mencurahkan ilmu kepada anak didiknya, tidak mustahil pembangunan jiwa dan insan tercapai.

“Justeru, guru-guru perlu lebih kreatif dalam usaha mencurahkan ilmu pengetahuan yang dimiliki agar pelajar STARP akan mendapat kejayaan yang gemilang pada masa hadapan,” katanya semasa program berkenaan yang dianjurkan oleh Kelab Warga Star Putra (KWSP) di STARP, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Noor Asyikin Selaiman berkata, persaraan Mohd Sha’rani adalah satu kehilangan besar khususnya pada warga pada sekolah berkenaan.

“Selain memberi galakan kepada pelajar-pelajar kurang cemerlang dalam akademik, beliau juga berusaha memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik agar tidak ketinggalan. Kami berharap walaupun selepas ini tidak lagi memegang jawatan khusus beliau tetap menyampaikan ilmu yang dimiliki,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - – Perintis pertama kereta kuda di bandar Kuala Terengganu, Mohd Zahari Ismail, 56, kini sedang menyiapkan sebuah lagi kereta kuda rekaannya demi memenuhi cita rasa orang ramai yang menyukai kereta kuda ala Inggeris.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.