JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang dipercayai telah menumbuk seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Skudai di sini semalam, kini menjadi buruan polis.

Ini susulan satu laporan polis yang dibuat oleh mangsa sejurus berlakunya kejadian itu pada 6.26 petang.

Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar yang mengesahkan perkara itu berkata  suspek ialah lelaki tempatan yang dipercayai berusia 35 tahun.

“Kejadian berpunca apabila mangsa berusia 36 tahun memberitahu suspek bahawa terdapat seekor kucing di bahagian belakang kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek.

"Tetapi lelaki tersebut tidak mempercayainya (ada kucing di bahagian belakang kereta) lalu menuduh mangsa menipu.

"Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara kedua-dua mereka dan suspek bertindak menolak dan terus menumbuk mangsa pada bahagian pipi sebelah kiri sebelum beredar," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Sementara itu, klip video yang menunjukkan suspek mengasari mangsa telah tular di laman sosial apabila dikongsi beberapa kali oleh netizen sejak malam tadi. - Bernama