KOTA TINGGI - Lebih 1,000 rakyat Kota Tinggi menyambut keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama rombongan KMJ 2017 di Titian Laksamana, di sini.

Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berserta kerabat Diraja dan rombongan kemudian dipersila ke khemah utama untuk majlis santapan.

Hadir menyambut keberangkatan keluarga Diraja Johor ialah Pegawai Daerah Kota Tinggi, Dr Badrul Hisham Kassim.

Pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyampaikan bantuan kepada lebih 10 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj).

Pelbagai acara turut disusun di lokasi yang menjadi mercu tanda baharu daerah itu iaitu Jambatan Gantung antaranya aktiviti rekreasi di Sungai Johor, sukaneka dan pameran daripada pelbagai agensi.

Selepas Titian Laksamana, rombongan KMJ 2017 diteruskan ke Felcra Sungai Ara di sini, sebelum ke Dewan Serbaguna Kampung Baru, Jemaluang, Mersing dan lokasi terakhir hari pertama di Dataran Kembara, Kampung Sri Lalang, Mersing.