PONTIAN - Setiap kali tiba musim hujan, penduduk empat kampung di Benut tidak dapat tidur lena kerana bimbang kejadian banjir kilat akan berlaku akibat limpahan air sungai.

Empat kampung tersebut ialah Kampung Parit Archong, Kampung Parit Kerimon, Kampung Parit Stan dan Kampung Parit Hasan.

Kebimbangan penduduk ada asasnya memandangkan sistem pengairan keempat-empat kampung berhubung antara satu sama lain dan disalirkan ke Sungai Besar.

Penduduk, Nadzri Mohd Noor, 38, merayu pihak berwajib mencari kaedah pengurusan lebih baik bagi membolehkan aliran air bertakung dan tidak mengalir terutama ketika hujan.

Katanya, masalah air bertakung dan tidak mengalir ketika hujan merupakan antara faktor berlakunya kejadian banjir kilat dan banjir termenung di sini.

Akibatnya bukan sahaja menyusahkan penduduk kampung, tetapi pekebun kelapa sawit turut menanggung kerugian kerana tidak dapat memungut hasil akibat kawasan kebun digenangi air banjir.

“Masalah utama dihadapi penduduk di sini ialah aliran air dari sistem perparitan yang tidak mengalir. Bila hujan terjadilah banjir kilat sebab air tidak lepas.

“Sudah banyak kali berlaku banjir, tetapi setakat ini keadaannya tidak teruk cuma melibatkan sebuah dua rumah sahaja. Minggu lepas pun ada berlaku banjir kilat, tetapi tidak lama air surut semula,” katanya.

Nadzri turut berkongsi kebimbangan dengan keadaan rumput dan lalang yang tidak ditebas di kawasan parit dan sungai.

Katanya, rumput  dan lalang yang tidak ditebas itu dibimbangi akan menghalang aliran air ke sungai dan seterusnya menjadi faktor berlaku kejadian banjir.

“Jika dilihat memang rumput dan lalang di sini cepat tumbuh mungkin disebabkan faktor tanah yang lembap.

“Kemungkinan kerja-kerja merumput perlu dilakukan lebih kerap dan tidak hanya menggunakan racun sahaja,” katanya.

Sementara itu, lawatan telah diadakan pimpinan Harapan Parlimen Pontian di Sungai Besar bagi meninjau masalah yang membelenggu penduduk.

Timbalan Harapan Parlimen Pontian, Zulkifli Tasrep berkata, usaha akan dilakukan kepimpinan kampung yang baharu bagi mencari kaedah yang sesuai mengatasi isu di Sungai Besar.

Katanya, isu Sungai Besar memerlukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kejadian banjir kilat dan banjir termenung kerap berlaku.