JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang menyertai ekspedisi mendaki gunung bersama 35 rakannya, dipercayai sesat di Gunung Gua Rimau dekat Kluang, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan, Abdul Razak Abdullah Sani berkata, Muhamad  Nizam  Ahmad Ansar dipercayai sesat ketika menuruni gunung bersama rakan-rakannya pada kira-kira jam 5 petang.

Selepas menyedari ketiadaan mangsa yang berusia 29 tahun itu, salah seorang rakannya kemudian  membuat laporan mengenai kehilangannya itu pada jam 3.20 petang tadi di Balai Polis Kampung Gajah.

"Susulan laporan itu, kami menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota polis serta bomba dan penyelamat bagi meninjau kawasan berkenaan.

“Kita akan lakukan tinjauan terlebih dahulu berdasarkan faktor cuaca dan keadaan sudah lewat petang.

“Ini memandangkan untuk ke kaki gunung perlu melalui jalan sepanjang 12 kilometer yang hanya boleh menggunakan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, petang tadi.

Abdul Razak berkata, operasi SAR secara intensif hanya akan dapat dilakukan bermula awal pagi esok.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua 36 pendaki bersama empat malim itu mula mendaki puncak gunung  pada awal pagi semalam.

"Pada 2 petang mereka bergerak menuruni gunung berkenaan namun pada jam 5 petang, mereka sedar mangsa tiada bersama," katanya.

Katanya, pencarian juga dilakukan terlebih dahulu oleh rakan mangsa bersama malim, namun menemui jalan buntu sebelum membuat laporan polis. - Bernama