KLUANG - Pendaki yang hilang di kaki Gunung Gua Rimau, petang Sabtu lalu, ditemui selamat jam 2.45 petang, tadi.

Muhamad Nizam Ahmad Ansar, 29, ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR)  tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Operasi SAR, Inspektor Mohd Adzhan Mat berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat walaupun sedikit keletihan selepas dilaporkan hilang lebih 48 jam.

"Selepas tersesat jalan, mangsa mengambil keputusan mencari sungai terdekat lalu mengikuti aliran sungai ke hilir, sebelum terserempak dengan pasukan SAR.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Naluri mak cik yakin dia selamat' ]

"Sehubungan itu, operasi SAR yang disertai 80 orang daripada pelbagai agensi ditamatkan pada petang ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom Kluang untuk mendapatkan rawatan.

Media sebelum ini melaporkan mangsa mendaki gunung itu bersama 35 lagi pendaki sebelum mangsa dilaporkan hilang sewaktu tiba di kaki gunung, pada petang Sabtu.