• Kok Hong (ldepan, lima kanan) bersama penerima geran di Kampung Baru Bersatu, Yong Peng, yang tertangguh selama 33 tahun. Kok Hong (ldepan, lima kanan) bersama penerima geran di Kampung Baru Bersatu, Yong Peng, yang tertangguh selama 33 tahun.
1 /

YONG PENG - Seramai 182 penduduk Kampung Baru Bersatu Batu 3 ½, Jalan Labis-Yong Peng, di sini, menarik nafas lega selepas kerajaan negeri mengurniakan geran tanah pertanian kepada mereka selepas penantian selama 33 tahun.

Semua penduduk yang juga petani dikurniakan tanah berkeluasan antara 0.4 hingga 1.2 hektar setiap seorang dengan jumlah keseluruhannya 200 hektar.

Majlis penyerahan geran berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong dan Adun Yong Peng, Lim Kee Moi.

Kok Hong dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri menyerahkan hak milik tanah pertanian kelapa sawit berkenaan kepada penduduk kampung bagi membolehkan mengusahakan tanah berkenaan.

Menurutnya, penyerahan itu juga bertujuan mengelakkan timbulnya sebarang masalah berbangkit pada masa yang akan datang seperti perebutan sempadan tanah.

“Proses menukar status tanah ini mengambil masa berikutan permohonan rasmi hanya dibuat pada tahun 2000. Namun kerajaan sangat komited untuk membantu rakyat memiliki tanah bagi meningkatkan ekonomi mereka.

“Pemberian geran hak milik tanah ini juga membuktikan kerajaan negeri komited menunaikan janji sebelum ini, iaitu menyelesaikan pelbagai isu yang sekian lama tertunggak termasuk masalah pemilikan tanah.

“Tahun lalu, kerajaan negeri juga telah berjaya menyelesaikan hak milik tanah di banyak kawasan di negeri ini sekaligus membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) komited membantu rakyat,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, penerima, Jaminam Kartowirono, 63, berkata, dia yang menerima 0.8 hektar tanah pertanian itu bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu penduduk dalam menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang tertangguh selama 33 tahun.

“Inilah bukti yang menunjukkan kerajaan negeri memahami kesusahan rakyat terutama bagi mendapatkan tanah untuk kami sekeluarga termasuklah sebagai sumber rezeki kami,” katanya.

Bagi Jauyah Ahmad, 64, berkata, dia terharu kerana akhirnya mendapat geran hak milik walaupun suaminya yang meneroka tanah berkenaan sudah meninggal dunia.

“Kalau arwah suami saya masa ada, tentu dia orang yang paling gembira dengan pengurniaan ini, hasil  kelapa sawit yang diusahakan arwahlah yang menjadi sumber pendapatan saya kini,” katanya.