PASTI asing apabila golongan muda hargai barang lama dan klasik.

Apatah lagi dalam dunia serba moden dan canggih, generasi kini pasti cenderung menghabiskan masa dengan teknologi serta gajet.

Bagaimanapun, berbeza dengan pemuda ini apabila minatnya lebih terarah kepada barang sejarah dan klasik.

Namun tidak bagi lelaki ini yang mana minatnya tercetus sejak tingkatan tiga lagi.

Tidak didorong mana-mana pihak, empunya diri, Muhamad Taoufiq Yusoff, 25, berkata, hobi tersebut datang sendiri selepas melihat wang kertas lama milik bapanya dibiarkan.

“Minat bukanlah bermula sejak kecil, namun tercetus sewaktu di bangku sekolah ketika di tingkatan tiga apabila melihat wang kertas dan syiling lama milik ayah terbiar begitu sahaja.

“Ayah saya memang pengumpul wang lama, cuma dia tak abadikan di ruangan khas. Jadi ketika melihat wang dikumpul ayah terbiar, saya terdetik untuk menyimpannya sebagai kenangan sebelum jatuh cinta dengan barang klasik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Gambir.

Antara koleksi setem lama negeri Johor, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikumpul Muhamad Taoufiq.

Menurutnya, bermula daripada mengumpul wang kertas dan syiling lama simpanan ayah, Muhamad Toufiq terus mengumpul wang kertas Malaysia pelbagai nilai yang mempunyai nombor siri unik, tandatangan gabenor berlainan atau gambar dan lukisan berbeza.

Muhamad Toufiq berkata, kini lebih 120 keping wang kertas lama sama ada dalam negara mahupun luar negara pelbagai denomasi berjaya dikumpul.

“Tidak haya kumpul wang lama semata-mata, saya sebenarnya turut buat rujukan daripada buku berkaitan mata wang Malaysia untuk mengetahui sejarah dan tahun pengeluarannya.

“Justeru, dengan minat yang tercetus, ia bukan sahaja memberi kepuasan malah saya juga berpeluang meningkatkan ilmu sejarah,” katanya.

Perluas hobi kumpul setem

Pemuda ini yang juga bekerja sebagai pembantu kedai di Restoran Kitchen Brothers Star di Taman Mulia, Bukit Gambir mengakui minatnya kemudian beralih kepada hobi mengumpul setem.

“Setem yang dikumpul merangkumi pelbagai jenis sama ada dalam luar negara. Saya perolehinya dengan membeli atau bertukar dengan pengumpul barangan itu selain pemberian rakan dan saudara mara dan kemudian disimpan dalam album untuk kenangan.

“Antara koleksi setem yang ada dalam simpanan ialah setem Johor bernilai antara satu sen hingga 25 sen yang tertera gambar Almarhum Sultan Ismail dan setem empat sen Negeri Sembilan ketika Malaya menggunakan gambar petani membajak sawah menggunakan kerbau.

"Terdapat juga setem Selangor bernilai lima sen yang masih tertera cop pejabat pos Kuala Lumpur bertarikh 27 Ogos 1968. Jika dikira setem itu telah berusia 48 tahun,” katanya.

Menurut Muhamad Toufiq, mengumpul barangan lama memerlukan kesabaran selain minat mendalam serta tekun demi mendapatkan sesuatu barangan yang diingini untuk dijadikan koleksi peribadi.

Katanya, minat timbul dalam diri seseorang yang mencintai barang lama dan antik kerana setiap barangan yang dikumpul mempunyai nilai dan sejarah tersendiri yang perlu diketahui individu berkenaan.

“Semangat untuk mengumpul barang lama terus berkembang pada 2010 ketika  berkunjung ke Singapura apabila terdapat kedai yang menjual cakera video laser pelbagai siri cerita lama yang popular sekitar 1994 seperti James Bond.

“Saya tidak lepaskan peluang apabila terus membeli dan kini saya berjaya mengumpul lebih 100 keping cakera video laser yang dibeli daripada beberapa buah kedai di Singapura setiap kali berpeluang berkunjung ke republik itu,” katanya.

Selain itu, Taoufiq turut membeli jam buatan Jerman yang diberi nama Jam Cockoo pada 2009 di Singapura yang dianggarkan berusia 30 tahun bagi menambah koleksi.

Beliau turut mengumpul barang lama seperti mesin taip jenama Brother, replika telefon lama berusia 20 tahun, botol dan tin Coca-Cola edisi terhad, tepak sirih buatan Siam, kotak mancis, frame gambar, 3D puzzle dan cawan Jepun.

“Set Cawan Jepun ini saya beli di Ipoh, Perak setelah berkongsi pengalaman dengan rakan di sana. Menariknya cawan ini ialah apabila air dituang ke dalamnya, kita akan nampak gambar wanita di dasar cawan itu, tetapi jika tiada air dalam cawan itu, gambar wanita itu tidak kelihatan,” jelasnya.

Bertukar pandangan di Facebook

Taoufiq berkata, bagi mengembangkan minatnya, dia menyertai beberapa kelab di Facebook untuk bertukar-tukar pengalaman dan menambah koleksi.

Selain itu katanya, dia turut bertemu rakan yang mempunyai minat sama di Melaka.

Anak muda ini juga mempunyai impian mewujudkan galeri di  Bukit Gambir bagi menghimpunkan barangan lama dan bersejarah untuk tatapan orang ramai.