JOHOR BAHRU - Pemimpin atau ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini disarankan untuk meletak jawatan jika gagal membawa prestasi baik kepada organisasi.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mazlan Bujang berkata, ia kerana pemimpin GLC adalah kepala dan memainkan peranan paling besar dalam keberkesanan syarikat.

“Saya juga berharap akan berlaku rombakan dalam GLC sekiranya prestasinya tidak baik. Kita tidak perlu nak kekalkan mereka ini kerana ramai lagi yang boleh. Kita perlu berani buat perubahan seperti yang disarankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pemimpin perlu bercakap benar.

“Kita perlu buktikan kelemahan, kalau nak tutup semua bila kita boleh tambah baik, nanti yang rugi rakyat kerana GLC ini dan anak syarikat kerajaan negeri datang dari duit rakyat,” katanya pada sidang media di Pusat Komuniti, Perjiranan 11 Bandar Dato Onn di sini, hari ini.

Menurutnya, cadangan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian untuk membawa forensik audit untuk menyiasat GLC negeri ini adalah tindakan yang wajar.

“Perkara ini (audit forensik) kita dah bincang dalam mesyuarat kerajaan negeri. Kita komited melihat prestasi semua GLC sebab menteri besar tidak puas hati dengan prestasi anak-anak syarikat kerajaan. Saya selaku Exco juga tidak berpuas hati,” katanya.

Dalam masa sama, Mazlan berkata, persoalan mengenai aliran wang dan hutang ditinggalkan tidak dijelaskan dengan tepat selain hanya menonjolkan pertambahan aset semata-mata.

“Kerajaan bantu tiap-tiap tahun dari segi tanah dan undang-undang. Aset mereka ini banyak sebab kerajaan bagi tanah percuma tetapi kita jangan tengok aset sahaja, tengok juga apa bantuan yang diberikan sebelum ini.

“Kita kena tengok aliran tunai berapa banyak hutang berapa banyak, cukup lah saya tidak mahu cakap banyak, tunggu laporan audit nanti,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri merancang untuk melakukan proses pengauditan forensik ke atas semua GLC negeri ini di negeri dalam masa terdekat.

Pelaksanaan itu juga sebagai usaha mengesan sebarang salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urus tadbir syarikat.