JOHOR BAHRU - Pembinaan Hospital Pasir Gudang dijangka dilaksanakan pada tahun 2018 seperti yang telah dinyatakan dalam pembentangan belanjawan negara pada tahun 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor  Datuk Ayub Rahmat berkata perkara itu dinyatakan ketika bajet itu dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, penjelasan secara terperinci mengenai projek pembinaan Hospital Pasir Gudang telah dibuat dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu dengan tender pembinaan akan dikeluarkan pada awal tahun 2018.

“Kita jangka surat niat akan diberi pada bulan Julai manakala Surat Setuju Terima (SST) pula akan diserah pada September.

Insya-ALLAH pada bulan Oktober 2018, kontraktor yang dilantik dijangka akan masuk tapak, jadi mana mungkin berlaku kelewatan  enam tahun seperti yang didakwa pembangkang," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Kita semua harus maklum bahawa bagi projek pembinaan yang bernilai melebihi RM50 juta perlu melalui proses makmal pengurusan nilai terlebih dahulu dengan proses penilaian nilai (VA) dan nilai kejuruteraan (VE) yang dijangka selesai pada bulan September dan November 2017,” katanya.

Ayub berkata demikian ketika mengulas dakwaan pembangkang yang mendakwa pembinaan hospital berkenaan tertangguh sejak enam tahun lepas.

Menurutnya, kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan tetapi juga sengaja dikeluarkan pembangkang  memandangkan PRU14 yang semakin hampir.

Beliau menegaskan kerajaan yang dipimpin oleh BN bukan sebuah kerajaan yang  membuat pembangunan atau kemajuan untuk menjadi popular semata-mata.

“Kita adalah sebuah kerajaan yang amat bertanggung jawab dan amanah dalam menjalankan tugas, justeru setiap perancangan akan dibuat dengan lebih teliti dan dilaksanakan mengikut keperluan semasa,” kata Ayub. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.