PONTIAN - Pemandu kereta Toyota Altis yang terlibat dalam kemalangan maut dua remaja berbasikal di Kilometer 1.3 Jalan Sawah Ulu Pulai, Pekan Nanas di sini Khamis lalu, dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman empat harinya berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, lelaki berusia 38 tahun itu dibebaskan selepas polis selesai menjalankan siasatan terhadapnya.

Katanya, kertas siasatan akan dihantar kepada pendakwa raya hari ini dan pihak polis masih menunggu laporan kimia, perubatan dan hasil pemeriksaan Puspakom.

"Pemandu terbabit dibebaskan hari ini dengan jaminan polis selepas remannya selama empat hari sudah pun berakhir, "katanya.

Menurutnya, polis juga telah merakam percakapan saksi dan dua remaja yang turut terlibat kemalangan tersebut.

"Nur Iqmal Haffiz Abdul Wahab, 15 dan Mohammad Nur Hayatuddin Mazli, 15 yang cedera di bahu dan mengalami luka-luka kecil telah pun dibenarkan pulang selepas dirawat di Hospital Pontian.

"Pihak polis telah merakam percakapan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan,"katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Insiden kereta rempuh basikal - “Dia baik, berdikari” ]

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 malam, Khamis lalu, Muhammad Amiruddin Abd Majid, 13 dan Ibnu Ahmad Ahmad Naizl,16, maut selepas dipercayai dirempuh Toyota Altis.

Dua lagi rakan mereka, Nur Iqmal Haffiz Abdul Wahab, 15 dan Mohammad Nur Hayatuddin Mazli, 15 , mengalami cedera di bahu dan luka kecil.

Empat remaja berkenaan dipercayai dalam perjalanan pulang selepas berlatih kompang.