JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang pemandu bas ekspres selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam pemeriksaan di Terminal Bas Pontian, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Johor, Superintendan Razak Md Said berkata, lelaki itu antara 411 pemandu bas dan kenderaan persendirian yang diperiksa menerusi Op Selamat 13 dan Op Khas Bas di sembilan lokasi berasingan di negeri ini.

“Dalam operasi bersepadu yang bermula 8.30 malam itu, sebanyak 377 kenderaan diperiksa melibatkan 125 bas dan 252 lain-lain kenderaan.

“Pemandu bas ekspres yang ditahan itu merupakan lelaki tempatan berumur 26 tahun dan dia akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Razak berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 314 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan termasuk memandu lebih had laju dan langgar lampu isyarat manakala lima motosikal turut disita.

Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pemandu bas bebas dari pengaruh dadah selain memastikan kenderaan dilengkapi ciri-ciri keselamatan.

“Antara pemeriksaan yang kita lakukan adalah pemeriksaan saman kenderaan, saman pemandu, kesalahan-kesalahan trafik, rekod jenayah dan waran tangkap.

“Pemeriksaan dijalankan secara rawak dan pemandu yang kita dapati berada dalam keadaan mencurigakan, kita akan tahan. Kita juga menjalankan pemeriksaan keselamatan dari segi pemakaian pemandu dan pemasangan segi tiga kecemasan,” katanya.

Antara lokasi pemeriksaan bas adalah di Terminal Larkin Sentral, Terminal Bas Pasir Gudang, Plaza Tol Yong Peng, Terminal Bas Segamat, Terminal Bas Kluang serta Terminal Bas Pontian - Bernama