JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan umum pelantikan ketua kampung untuk 674 jawatan kosong di seluruh negeri ini menjelang September nanti.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar, Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu berikutan terdapat beberapa saluran yang perlu disaring dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat secara rasmi.

Beliau berkata, sebanyak 1,496 permohonan diterima sejak jawatan berkenaan ditawarkan pada 10 Jun lalu.

“Bermula daripada minggu ini kita akan melalui proses temu duga semua pemohon yang telah menghantar borang.

“Kita juga telah meminta komitmen semua pegawai daerah ambil berat menangani proses temu duga yang dijangka berlangsung pada 31 Julai ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, temu duga di beberapa daerah seperti Kluang, Pontian dan Batu Pahat dijangka lewat iaitu pada 31 Ogos 2018 kerana babit kawasan yang besar.

Menurutnya, sejurus selepas berakhirnya proses temuduga itu kesemua calon kemudiannya akan dibawa ke peringkat dalaman iaitu perakuan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUKJ) dan Menteri Besar Johor.

Jelasnya, arahan telah dikeluarkan untuk semua penghulu di setiap Dun bagi menggalas sementara tanggungjawab berkenaan, sekali gus  melancarkan  proses sokongan kerajaan negeri untuk manfaat masyarakat,

“Kita tidak mahu sebarang perkara terpaksa ditangguh.

“ Jadi penghulu akan diberikan tanggungjawab sementara untuk menyelesaikan sebarang inisiatif sokongan daripada pihak kerajaan,” katanya.