• Pelajar 'istimewa' bukti kemampuan diri Anuar bersalaman dengan pelajar pendidikan khas yang menyertai Festival Nasyid Program Pendidikan Khas Integrasi Daerah Segamat 2013.
1 /

SEGAMAT - Pelajar pendidikan khas daerah Segamat membuktikan kecacatan bukan penghalang untuk mereka menyertai Festival Nasyid Program Pendidikan Khas Integrasi Daerah Segamat 2013.

Festival nasyid yang mempertandingkan dua kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah itu bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah yang melibatkan penyertaan daripada 13 sekolah.

Pertandingan yang dikelolakan oleh Sekolah Menengah Buloh Kasap dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Segamat itu telah dirasmikan Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap.

Anuar berkata, beliau bangga dengan kemampuan pelajar pendidikan khas yang mampu memberikan daya saing dalam dunia pendidikan.

“Melalui pertandingan seperti ini saya lihat bahawa pelajar pendidikan khas mempunyai potensi yang tinggi untuk dibangunkan dan mereka sebenarnya mampu untuk pergi lebih jauh jika kena dengan caranya.

“Saya mahu program pendidikan khas integrasi ini bukan hanya diadakan pada masa-masa tertentu sahaja, tetapi biarlah ia berterusan sepanjang masa.

“Dan kalau boleh pelajar pendidikan khas ini diberi lebih keutamaan berbanding pelajar yang normal,” katanya dalam ucapan festival tersebut di Kip Mart Segamat, di sini, semalam .

Katanya, di masa akan datang jika pihak sekolah hendak mengadakan sebarang aktiviti, jemputan perlu lebih meluas yang melibatkan ahli perniagaan Melayu yang berjaya, tokoh ilmuan, penghulu dan lain-lain lagi yang mampu memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan pendidikan khas ini.