KLUANG - Seorang pekerja swasta maut apabila motosikal yang ditunggangi hilang kawalan di KM 63.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan, petang tadi.

Dalam kejadian lebih kurang 6.05 petang itu telah menyebabkan mangsa, Zaifol Fahri Abidin,21, yang menunggang motosikal jenis LC meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku semasa penunggang motosikal dari arah Melaka menghala ke Johor Bahru.

"Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi pembahagi jalan di bahu jalan sebelah kiri.

"Akibat dari pelanggaran ini, penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mohamad berkata, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk dibedah siasat.

Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi merupakan jalan lurus dan keadaan cuaca baik.

Bagaimanapun, kes ini akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.