JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mahu Pendidikan Agama Islam dalam semua institusi Pengajian Islam di Johor, mematuhi semua syarat dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa negeri.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) berkata, ia termasuklah pusat-pusat pendidikan swasta.

Menurutnya, pematuhan syarat dan garis panduan itu khusus dalam aspek-aspek yang melibatkan silibus pendidikan dan pengajaran di setiap institusi tersebut.

“Saya mahu Pendidikan Agama Islam dalam semua institusi Pengajian Islam di Johor termasuk pusat-pusat Pendidikan Swasta mematuhi semua syarat serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Berkuasa Negeri terdiri daripada Jabatan Agama Islam Johor (Jainj) dan Mainj khususnya dalam aspek-aspek yang melibatkan silibus pendidikan dan pengajaran di setiap institusi tersebut,” katanya seperti dipetik dalam laman Facebook The Royal Johor di sini hari ini.

Tunku Ismail turut menegaskan agar tidak ada pihak cuba melobi pegawai kerajaan atau Jainj bagi membawa silibus dan tenaga pengajar luar negara masuk ke dalam negeri ini.

Selain itu, beliau juga berpandangan tenaga pengajar serta warga kerja setiap pusat pendidikan berkenaan perlu diambil dari kalangan lulusan yang terpilih daripada Kolej Pengajian Islam Negeri Johor (MARSAH) atau Maahad Tahfiz Negeri Johor (MTNJ).

“Saya ingin tegaskan jangan ada pihak cuba melobi pegawai kerajaan atau Jainj pergi bercuti dengan tujuan ingin membawa silibus dan tenaga pengajar luar negara masuk ke dalam Negeri Johor.

“Saya juga berpandangan bagi memastikan mutu Pendidikan Agama Islam di setiap pelusuk Negeri Johor tetap terpelihara, tenaga pengajar serta warga kerja setiap Pusat Pendidikan itu perlu diambil dari kalangan lulusan yang terpilih daripada Marsah atau MTNJ,” katanya.