BATU PAHAT - Seorang wanita berusia lingkungan 30an merayu supaya gambarnya bersama pasangan tidak dirakam dalam serbuan di sebuah hotel bajet, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat terpaksa menunggu lama kerana pasangan terbabit enggan membuka pintu.

Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, selepas pintu bilik dibuka, pemeriksaan awal mendapati wanita terbabit bersama seorang lelaki dalam keadaan berpakaian lengkap.

Menurutnya, lelaki tersebut yang bekerja di sekitar bandar ini terdiam apabila ditanya mengenai status hubungan mereka, manakala pasangannya merayu berkali-kali supaya tidak dikenakan tindakan.

“Pasangan berusia lingkungan 30-an ini enggan membuka pintu pada mulanya, tetapi selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk selain beberapa pegawai penguat kuasa mendesak untuk memecah pintu, barulah ia dibuka.

“Hasil pemeriksaan yang kami lakukan mendapati lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam bilik itu tidak mempunyai ikatan yang sah dan berada dalam keadaan yang mencurigakan,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses dokumentasi.

Jelasnya, mereka ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 27(1)(a)&(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.

Tambahnya, pasangan terbabit akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Kerana kasih, seorang lelaki warga Pakistan sanggup menempuh perjalanan lebih 100 kilometer hanya untuk bertemu kekasihnya di daerah Batu Pahat.
  • NILAI - [VIDEO] “Saya hanya nak hantar makanan je!”, kata seorang remaja perempuan dengan nada marah kepada penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang menyerbu sebuah hotel budget di sini, semalam.
  • KUALA NERUS - Tidak pernah mengambil iktibar daripada pelbagai serbuan dibuat pihak berkuasa sebelum ini, sepasang lagi kekasih ditahan awal pagi kelmarin kerana didapati berdua-duaan di tepi pantai dalam keadaan mencurigakan.
  • JOHOR BAHRU - Kes tangkapan khalwat di hotel-hotel bajet kini menunjukkan trend semakin ramai pekerja warga asing terbabit dalam kes berkenaan.
  • KUALA ROMPIN - Sepasang kekasih ditahan pasukan penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin selepas disyaki berduaan dalam bilik di sebuah hotel bajet, di sini, sekitar jam 3 pagi, Jumaat lalu.