JOHOR BAHRU – Paras air di Empangan Sungai Lebam dekat Kota Tinggi kritikal walaupun hujan sejak beberapa hari lalu.

Exco Pelaburan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, bacaan paras terkini 11.37 meter berbanding 11.47 meter minggu lalu dan masih berada bawah paras kritikal.

“Bacaan ini menunjukkan jumlah air masih berkurangan kerana paras kritikal 12.32 meter.

“Oleh itu, jangkaan kami tetap sama iaitu bekalan air hanya mampu bertahan sehingga hujung Oktober ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu kemerosotan paras air di empangan berkenaan, semalam.

Jimmy berkata, empangan berkenaan sumber air mentah bagi loji rawatan air yang membekalkan keperluan kepada lebih 1 juta penduduk Johor Bahru Selatan dengan jumlah pengeluaran 45 juta liter sehari.

“Johor Bahru Selatan mencatat jumlah penggunaan tertinggi di Johor membabitkan lebih 1 juta pengguna manakala kawasan lain di daerah ini menerima bekalan air dari sumber berbeza seperti Sungai Skudai.

“Buat masa ini, semua kawasan takungan air di negeri ini dalam keadaan baik dan masalah hanya membabitkan kawasan takungan Sungai Lebam.

“Namun, kami tetap memantau daerah Kluang dan Mersing kerana kawasan itu sering terjejas jika kemarau,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Johor mungkin terpaksa menggunakan inisiatif lain termasuk pemindahan air dari kawasan lain untuk menampung keperluan lebih 1 juta pengguna.

“Semua pihak berkaitan juga cari penyelesaian untuk selesaikan perkara ini sebelum air cecah paras catuan iaitu 9.69 meter.

“Berdasarkan data Jabatan Meteorologi, cuaca panas dijangka kekal sehingga Oktober ini menyebabkan kekurangan takungan air.

“Kita tidak mahu catu air selepas mengambil kira pengalaman pada 2015 yang mana catuan menjejaskan aktiviti harian penduduk,” katanya.