JOHOR BAHRU - Pejabat Menteri Besar Johor menegaskan individu didakwa Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini, mengugut pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan untuk menerima senarai kontraktor yang dibawa bagi mendapatkan projek kerajaan bukan pegawai khas kepada Menteri Besar Johor.

Dalam satu kenyataan media, Pejabat Menteri Besar Johor memaklumkan pentadbiran kerajaan negeri memandang serius terhadap tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama Menteri Besar Johor untuk mendapatkan projek-projek berkaitan kerajaan.

“Pegawai kerajaan negeri tidak perlu takut dengan desakan pihak-pihak tertentu yang ingin mendapatkan tender kerajaan dengan tidak mengikut prosedur yang betul.

“Kerajaan negeri juga berpendirian bahawa sebarang projek hendaklah melalui proses tender terbuka seperti yang tertulis dalam manifesto Pakatan Harapan Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu tular di laman sosial mendakwa terdapat seorang Ketua Bahagian Bersatu di Johor yang menggelar diri sebagai pegawai menteri mengugut PBT dan jabatan kerajaan untuk menerima senarai kontraktor yang dibawa bagi mendapatkan projek berkaitan kerajaan.

Dalam posting tersebut menyatakan tindakan individu terbabit sebagai memalukan parti komponen.