JOHOR BAHRU - Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, menerima pengiktirafan daripada Kolej Anesthesia, Ireland sebagai pusat latihan ijazah lanjutan laluan parallel.

Ketua Pengarah Anestesiologi dan Rawatan Rapi HSA, Dr Raha Mohd Daud berkata, pengiktirafan yang diterima sejak 2015 itu diharap dapat melahirkan doktor pakar di dalam bidang berkenaan untuk berkhidmat kepada orang ramai.

Menurutnya, selain itu, HSA juga turut menjadi pusat latihan bagi program Sarjana di bawah kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) bagi bidang berkenaan sejak 1996.

"Ini merupakan pengiktirafan besar kepada HSA yang mempunyai hampir semua disiplin kepakaran.

"Pada masa ini, terdapat seramai 26 pakar dalam bidang anestesiologi atau pakar bius di HSA, bagaimanapun bilangan tersebut tidak mencukupi untuk menampung peningkatan jumlah pesakit.

"Kita harap pengiktirafan diberi dapat meningkatkan lebih ramai doktor pakar bius bukan setakat di HSA malah untuk keperluan hospital lain di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir Sambutan Hari Anestesia Sedunia 2018 Peringkat negeri di Galleria Kotaraya, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan negeri, Dr Izam Suleiman.

Raha berkata, setiap bulan, HSA menyelesaikan kepakaran bidang anestesiologi membabitkan kira-kira 1,500 kes yang mana sebilangan besar merupakan kes kecemasan.

Sementara itu, mengulas tentang program berkenaan, Izam berharap program ini dapat memberi maklumat secara meluas mengenai anestesia dan apa jua bidang berkaitan.