JOHOR BAHRU – Orang biasa pun pasti tidak suka diintip apatah lagi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsul Bari Jamali berkata, ini kerana, kita hidup dalam sebuah negara yang merdeka serta Malaysia baharu.

“Sebenarnya saya tidak berapa tahu berkenaan dengan perkara ini. Tetapi, apa sahaja usaha yang dibuat sebegitu rupa adalah perkara yang tidak wajar.

“Orang biasa pun tidak suka diintip, apatah lagi individu-individu yang lain (Tunku Ismail),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tunku Ismail dalam Facebook HRH Crown Prince of Johor yang memberitahu beliau telah dihampiri seseorang individu untuk membeli sebuah peralatan pengintipan serta mengumpul data buatan Israel yang turut dimiliki kerajaan, baru-baru ini.

Tunku Ismail berkata, beliau tahu peralatan tersebut diguna pakai kerajaan dahulu, tetapi tidak sepatutnya berlaku di zaman Malaysia Baru kerana tiada tempat untuk pengamalan ia pada masa kini.

Bagaimanapun, katanya, adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai telah menyampaikan pesan bahawa dirinya dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang diperhatikan.

Samsul Bari berkata, berikutan itu, rakyat Malaysia pastinya mahu hidup dalam keadaan yang aman, makmur dan bebas untuk bergerak.

“Kita harap kita mempunyai kemakmuran dan kebebasan untuk bergerak dalam negara yang berdaulat,” katanya.