• papan tanda haram
1 /

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) komited melaksanakan operasi menurunkan papan tanda iklan tanpa kelulusan dan kebenaran di seluruh kawasan bandar raya ini.

Datuk Bandar MBJB, Burhan Amin berkata, terdapat segelintir pihak mengambil jalan mudah dengan membuat pemasangan papan tanda iklan berkenaan walaupun menyalahi undang-undang MBJB.

Menurutnya, MBJB memandang serius hal berkenaan susulan sikap syarikat-syarikat terbabit yang sewenang-wenangnya memasang papan tanda iklan berkenaan tanpa kebenaran.

“Ia bukan sahaja menjadi kesalahan kerana memasang struktur tanpa kebenaran malah terdapat sesetengah papan tanda iklan ini tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

“MBJB sudah memberikan notis kepada syarikat-syarikat yang dikenal pasti membina dan memasang papan tanda iklan tanpa kebenaran di sekitar bandar raya ini.

“Mereka yang terbabit bakal berdepan tindakan undang-undang mengikut bidang kuasa MBJB,” katanya, di sini, semalam.

Burhan berkata, sebanyak 49 papan tanda iklan haram yang dipasang di sekitar bandar raya ini sudah dikenal pasti dan akan diarahkan supaya menurunkannya dalam tempoh diberikan.

“Daripada jumlah berkenaan, 12 papan iklan sudah diturunkan dan operasi penurunan akan sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa. Dijangkakan menjelang bulan April ini, semua papan tanda iklan haram ini akan dapat diturunkan.

“Antara kawasan yang sudah dikenal pasti adalah Jalan Tebrau, Jalan Skudai dan kawasan Lebuhraya Pasir Gudang,” katanya.

Justeru, Burhan meminta mana-mana syarikat atau individu yang berhasrat memasang papan tanda iklan di dalam kawasan bandar raya ini mendapatkan khidmat nasihat dan panduan terlebih dahulu bagi kelulusan pemasangan.

Mereka yang berminat boleh berbuat sedemikian di Unit Pusat Setempat MBJB di Bangunan Jotic bagi mendapatkan penerangan lebih terperinci.

Terdahulu, MBJB menurunkan sebuah papan iklan bersaiz gergasi di persimpangan jambatan Jalan Tebrau, di sini, yang dibina dan dipasang tanpa kebenaran, kelmarin.

Operasi berkenaan dilaksanakan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang dan turut mendapat kerjasama daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).