MUAR - “Inilah kenderaan paling berharga dalam hidup saya. Memang terharu apabila sekali lagi dipilih untuk dapat motosikal khas kurniaan Tuanku,” luah warga emas, Ibrahim Ali, 70.

Dia yang juga orang kurang upaya (OKU) menerima pemberian khas iaitu motosikal beroda tiga daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017, di Padang Bukit Mor, Parit Jawa, semalam.

Ibrahim yang mesra disapa Pak Yem, merupakan bekas Askar Timbalan Setia Negeri (JMF) Johor suatu ketika dahulu, turut pernah dikurniakan kenderaan sama pada KMJ 2013.

“Saya teruja dan terharu atas kesudian Tuanku yang masih ingat dan menyapa saya, meskipun saya hanyalah rakyat biasa yang pernah berkhidmat di bawah baginda.

“Khidmat saya dalam JMF tidaklah begitu lama, iaitu kurang 10 tahun. Tapi diakui sikap luhur dan berjiwa rakyat dimiliki Sultan Ibrahim sememangnya terserlah.

“Saya pernah berkhidmat di bawah baginda pada 1966 sehingga awal tahun 70-an, namun terpaksa berhenti tak lama kemudian selepas disahkan menghidap kencing manis kronik. Ketika itu, Tuanku masih berusia belasan tahun dan saya mengagumi keluarga Diraja ini sejak mula bekerja," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ujar Ibrahim, perasaan kagum itu wujud sehingga kini ditambah apabila Sultan Ibrahim sehingga hari ini masih mengingati dan sudi menyapanya setiap kali bertemu pada program KMJ.

Menurutnya, meskipun keadaan kesihatannya terganggu sehingga memaksa kaki kirinya dipotong kira-kira 10 tahun lalu, namun itu tidak menghalang dirinya untuk hadir program KMJ saban tahun demi untuk bertemu Sultan Ibrahim dan kerabat baginda.

“Sejak hampir 20 tahun lalu, saya memang tak pernah lepas peluang pergi ke program KMJ di setiap lokasi yang diadakan di Muar.

“Malah, jika Tuanku terlihat saya juga, baginda akan menyapa saya meskipun dari jauh. Itu yang buatkan saya terharu atas ingatan baginda terhadap saya,” katanya.

Tambahnya, meskipun menggunakan kerusi roda untuk bergerak, namun itu tidak memberi masalah kerana rakan-rakan dan penduduk pasti akan datang membantu menolak kerusi roda, membantunya menuruni motosikal dan sebagainya.

“Kurniaan motosikal kali kedua ini akan digunakan untuk memudahkan urusan seharian.

“Pemberian motosikal sebelum ini banyak bantu saya untuk bergerak dengan lebih mudah selepas kaki dipotong. Malah, saya juga guna motor ini untuk jual buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pelbagai keperluan lain.

“Motosikal kedua yang diterima ini juga akan saya gunakan untuk aktiviti seharian meskipun pemberian pertama sebelum ini masih lagi berkeadaan elok. Kedua-duanya sangat berharga dan saya anggap inilah kenderaan serta harta paling mahal saya miliki,” ujarnya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim tiba di Padang Bukit Mor diiringi Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.