SEGAMAT - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor memberi tempoh 30 hari kepada sebuah kilang memproses getah beku di pekan Buloh Kasap, di sini, untuk mengatasi masalah bau busuk yang disebabkan oleh kilang berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezzani Mat Salleh berkata, dalam tempoh tersebut juga, pemilik kilang perlu menutup lubang-lubang yang terdapat di kawasan pemprosesan getah bagi memastikan bau busuk tidak terlepas keluar.

“Sekiranya pemilik kilang sudah menutup lubang, namun bau busuk tersebut masih ada, JAS akan mengadakan mesyuarat task force bersama pemilik kilang dan pemimpin setempat untuk mencari alternatif lain pula.

“Antaranya meminta pemilik kilang ini supaya mencari kawasan lain yang lebih sesuai dan jauh dari penempatan penduduk dalam tempoh setahun,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke kilang tersebut, kelmarin.

Turut hadir, Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Penolong Pengarah JAS Negeri Johor, Zuhairi Said.

Mohammad Ezzani berkata, pemilik kilang juga disarankan agar menggunakan semburan mikroorganisma efektif (EM) dan enzim di stor penyimpanan getah beku serta lori-lori bagi mengenyahkan bau busuk.

“Keadaan sekarang bertambah serius kerana masalah bau busuk ini tetap tidak dapat diatasi sehingga menimbulkan keresahan kepada penduduk setempat. Disebabkan itu pemilik kilang perlu patuh terhadap peraturan yang dikeluarkan oleh JAS.

“Bulan lalu juga kita telah mengeluarkan notis penggantungan operasi di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap kilang ini dan sekiranya pihak kilang masih berdegil, JAS tidak akan beri kebenaran untuk memperbaharui lesen,” katanya.

Katanya, dalam tempoh 30 hari itu juga, kilang berkenaan tidak dibenarkan beroperasi sepenuhnya sebaliknya pihak pengurusan perlu melakukan penambahbaikan seperti yang telah dicadangkan oleh JAS.

Sementara itu, Norshida berkata, beliau sering menerima aduan daripada penduduk yang tidak tahan dengan bau busuk dari kilang tersebut sehingga menjejaskan rutin harian mereka.

“Isu bau busuk ini sudah berlarutan lama dan saya minta pihak kilang dapat mematuhi peraturan JAS kerana di kawasan ini juga terdapat beberapa sekolah,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUBANG JAYA - Sembilan cedera termasuk tujuh parah dan melecur akibat letupan di sebuah kilang pembuatan makanan kopitiam di Jalan Subang 10, Taman Perindustrian Subang di sini, pagi tadi.
  • SEGAMAT - usat Aduan Rakyat (PAR) Parlimen Segamat mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak pihak berkuasa agar menutup operasi kilang melebur bateri berhampiran Taman Suria, Buloh Kasap, di sini, kelmarin.
  • DUNGUN - Bau busuk di pesisir pantai Paka, Kampung Cacar di sini sejak semalam terus menjadi tanda tanya apabila penduduk menyangkakan ia datang daripada bau mayat.
  • GEORGETOWN - Seorang mekanik dan 11 ahli keluarganya terpaksa menempuh kehidupan seharian yang menyeksakan sejak tiga tahun lalu apabila kediaman mereka dicemari udara kotor dipercayai berpunca dari sebuah kilang berdekatan rumah mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.