MUAR- Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan sebuah bot yang dipercayai hanyut dibawa arus di perairan Parit Keroma, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang tadi, mangsa, Muaz Abdul Mutalib, 20, dikatakan sedang mendirikan pondok kupang sebelum didakwa hilang selepas terjatuh gara-gara bertindak menyelamatkan sebuah bot yang hanyut di kawasan berhampirannya.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa sendiri, satu kumpulan khas telah ditubuhkan bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Gerakan mencari dan menyelamat dimulakan setelah menerima laporan kejadian kira-kira' jam 3.30 petang. Mangsa dikatakan dalam keadaan tidak berbaju sewaktu jatuh.

"Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah digerakkan untuk menjalankan operasi SAR dengan dibantu oleh sebuah bot Pasukan Gerakan Polis Marin dan beberapa bot milik penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan.

Zulkarnain dalam pada itu turut mengingatkan kepada semua komuniti maritim yang keluar ke laut mengadakan sebarang aktiviti untuk sentiasa mengutamakan dan menitikberatkan soal keselamatan sewaktu berada di laut.

"Ia termasuk dengan memastikan peralatan seperti jaket keselamatan agar sentiasa dalam keadaan baik dan dipakai semasa melakukan aktiviti.

"Selain itu, komuniti maritim juga disarankan untuk memberikan kerjasama bagi memastikan keselamatan dalam apa jua situasi," ujarnya.