KLUANG - [DIKEMASKINI] Naluri seorang ibu yang yakin anak lelakinya hilang ketika mendaki Gunung Gua Rimau, di sini, masih selamat akhirnya menjadi kenyataan apabila anaknya itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ibunya, Jarina Hassan, 55, berkata, dia dan suaminya, Ahmad Ansar Gentong, 57, bersyukur anaknya Muhamad Nizam Ahmad Ansar, 29, ditemui selepas dilaporkan hilang selama dua hari.

“Saya bersyukur dan hampir menitiskan air mata sewaktu dimaklumkan Nizam yang juga anak kedua daripada tiga beradik ditemui dalam keadaan selamat walaupun hampir 48 jam hilang.

“Doa kami semua yang mahukan peristiwa ini berakhir dalam keadaan baik akhirnya dimakbulkan dan peristiwa ini pastinya akan diingat sampai bila-bila dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga akan membawa Muhamad Nizam pulang ke kediamannya di Felda Tenggaroh 2, Mersing, selepas anaknya selesai menjalani pemeriksaan di Hospital Enche Besar Hajah Kalsom Kluang (HEBHKK).

[ARTIKEL BERKAITAN: Pendaki hilang ditemui selamat]

Sementara itu, Mohamad Nizam ketika ditemui berkata, dia terpisah daripada kumpulannya ketika berhenti untuk berehat namun tidak menyangka rakan-rakannya begitu cepat meninggalkannya.

“Saya cuba mengejar namun mula keliru dengan keadaan jalan yang perlu dilalui kerana terlalu banyak simpang menyebabkan saya berpatah balik untuk menunggu kumpulan lain yang masih berada di belakang.

“Namun cubaan berpatah balik itu menyebabkan saya sesat sebelum menemui sebatang sungai menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menunggu mereka mencari saya di kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, dia hanya menjadikan coklat dan makanan ringan dibawa bersama ketika mendaki sebagai mengalas perut manakala air sungai untuk membasahkan tekak sepanjang dua hari berada di dalam hutan itu.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kehilangan Muhamad Nizam hanya disedari kira-kira jam 5 petang selepas terpisah daripada kumpulannya sewaktu mendaki gunung tersebut bersama 35 lagi rakan sekerjanya.

Kumpulan yang diiringi empat orang jurupandu kemudian tiba di kaki gunung jam 4.15 petang dan mencari Mohamad Nizam selepas menyedari kehilangannya namun gagal lalu melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa, petang kelmarin.