KULAI - Projek naik taraf Jalan di Batu 24 berdekatan Kelapa Sawit, di sini, akan menjadi keutamaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, naik taraf selekoh 'S' di KM 38.4, Jalan Persekutuan Johor Bahru-Air Hitam itu kini telah siap 18 peratus.

"Saya dimaklumkan JKR projek berkenaan telah memasuki fasa kedua pembinaannya.

"Projek  yang menelan kos  RM8 juta ini dijangka siap pada September tahun depan," katanya kepada Sinar Harian.

Jimmy berkata, projek tersebut kini berdepan dengan cabaran untuk memindahkan kabel-kabel utiliti termasuklah Syarikat Air Johor (SAJ), Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia.

"Saya juga telah mendapatkan kepastian sekiranya jalan ini telah lurus dan siap, maka jalan lama sudah tidak digunakan.

"Saya telah maklumkan kepada JKR dan mahu projek ini menjadi keutamaan dan harap ia dapat disiapkan sebelum tarikh yang disasarkan kerana isu ini sangat mendapat perhatian warga Kulai," katanya.

Beliau berkata, naik taraf jalan tersebut telah dimaklumkan kepada pihak bertanggungjawab sejak beliau menang sebagai wakil rakyat kawasan itu pada PRU13 lagi.

"Sekiranya jalan ini tidak diluruskan, ia amat berbahaya. Malah, lokasi ini sering berlaku kemalangan serta telah meragut nyawa pengguna jalan raya hampir setiap tahun.

"Perkara ini juga merupakan salah satu manifesto saya dalam PRU14 yang mana saya mahu memastikan ia segera siap ," katanya.  

Justeru itu, katanya, beliau akan membuat susulan dengan JKR dari semasa ke semasa supaya projek berkenaan dapat disiapkan segera.