KLUANG - Polis tidak menolak kemungkinan serangan binatang buas menjadi punca penggembala lembu ditemui maut dalam keadaan mengerikan di dalam parit di ladang sawit Batu 54, Jalan Machap Johor, dekat sini, kelmarin.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad, hasil bedah siasat ke atas mangsa, Mahadi Sadri, 30, mendapati tiada unsur jenayah dan kematiannya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Bagaimanapun, kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di bahagian dada dan paha yang dipercayai digigit binatang buas.

Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan wujudnya binatang buas kerana luka dialami mangsa agak luar biasa.

“Berikutan kejadian itu, hari ini (semalam) pihak kami bersama-sama pasukan Unit Forensik daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Kluang serta pasukan penguat kuasa Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) mengadakan tinjauan secara bersepadu ke tempat kejadian bagi mengesan petunjuk untuk menjejaki haiwan buas tersebut,” katanya semalam.

Mohd Noor berkata, MDSR akan melakukan operasi anjing liar di kawasan ladang berkenaan selain Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sudah turut dimaklumkan mengenai kewujudan haiwan tersebut.

Unit forensik temui kesan tapak kaki, bulu warna hitam

Sementara itu, operasi bersepadu di lokasi mayat ditemui dilakukan selama lebih kurang sejam bermula 12 tengah hari, semalam.

Dalam operasi itu, pasukan Unit Forensik berjaya menemui kesan tapak kaki sebesar tapak tangan orang dewasa dipercayai binatang buas.

"Dalam pada itu, beberapa helai bulu binatang berwarna hitam juga ditemui di lokasi kejadian.

Sampel bulu itu diambil oleh Unit Forensik untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenal pasti jenis binatang berkenaan," katanya

Menurut Mohd Noor, seekor anak lembu juga dikesan mengalami kecederaan akibat diserang binatang buas tersebut selepas mayat mangsa ditemui kelmarin.

Mangsa tidak pernah diganggu anjing liar

Sementara itu, adik mangsa, Amanshah Sadri, 25, yang turut sama berada di lokasi berkenaan berkata, sebelum ini abangnya tidak pernah diganggu anjing liar ketika membawa lembu ternakan meragut rumput di kawasan ladang berhampiran rumah mereka.

“Malah, saya sendiri tidak pernah terserempak dengan anjing liar.

Bagaimanapun, sejak seminggu lalu, berdekatan ladang tersebut terdapat antara tujuh hingga lapan anjing yang baru dibela.

“Malah sewaktu mayat ditemui semalam (kelmarin), kami terserempak dengan tiga daripada anjing yang dibela itu berhampiran mayat abang.

Anjing tersebut dipercayai jenis garang kerana langsung tidak berganjak apabila dihalau saya dan beberapa pekerja ladang lain,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa penduduk kampung yang ditemui mengakui pernah terserempak dengan harimau akar di kawasan hutan berhampiran ladang berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLUANG - Kesempitan hidup yang dialami M Puspanathan, 40, di Taman Orket di sini, menyebabkan dia sekeluarga tidak dapat pulang ke kampung halaman di Selangor untuk menyambut Deepavali.
  • KLUANG - Polis menahan 30 individu dalam satu operasi bersepadu Ops Khazanah bagi membanteras kegiatan jenayah hutan dan kezaliman terhadap hidupan liar di sekitar kawasan Taman Negara Endau-Rompin bermula 10 Oktober dan berakhir hari ini.
  • KLUANG - Seorang peniaga pisang goreng di Taman Sri Lambak, di sini, akui berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) di pasaran.
  • KLUANG - Kehidupan seorang ibu tunggal dua anak berubah selepas kematian suaminya sehinggakan terpaksa tinggal di sebuah pondok dua bilik yang hanya diasingkan dengan kotak di Kampung India Chamek di Paloh, dekat sini, sejak enam tahun lalu.
  • KLUANG - Seramai 90 keluarga kurang berkemampuan dalam kawasan Dun Paloh dan Kahang menerima bantuan baucar pembelian barangan sebagai persiapan untuk menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.