KUALA LUMPUR - Tiga kawasan -- Muar, Pasir Gudang dan Bandaraya Melaka -- mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini.    

Bacaan IPU sehingga pukul 11 pagi menunjukkan Muar mencatat IPU paling tinggi iaitu 127 diikuti Pasir Gudang, yang mencatat bacaan 103, dan Bandaraya Melaka dengan bacaan 101.
   
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan di selatan Semenanjung dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan.
   
Kenyataan itu menyebut maklumat satelit NOAA-18 yang dikeluarkan Pusat Meteorologi Khusus Asean semalam menunjukkan terdapat 46 titik panas di Sumatera, Indonesia dan dua titik panas di Malaysia, iaitu di Sabah.
   
JAS melaporkan negara kini mengalami musim Monsun Barat Daya bermula bulan ini dan dijangka berterusan sehingga September.

"Angin Monsun Barat Daya yang bertiup dari kawasan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia telah membawa pencemaran asap jerebu ke kawasan selatan pantai barat Semenanjung," katanya.
   
Menurut kenyataan itu, sebanyak 12 stesen berada pada tahap baik manakala 36 lagi mencatat kualiti udara tahap sederhana.
   
JAS juga melaporkan kebakaran tanah gambut seluas 20.235 hektar di hutan simpan Kuala Langat utara dan selatan adalah terkawal dan tidak menyebabkan pencemaran udara di sekitar Lembah Kelang.
   
Sementara itu, kebakaran seluas 20 hektar di Kampung Seri Timur, Kluang, Johor pada 13 Jun telah dipadam sepenuhnya.
   
JAS kini mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di seluruh negara, sehubungan itu, orang ramai dinasihat tidak berbuat demikian dan diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil.
   
Orang ramai juga boleh memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian 1-800-88-2727. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Banjir di Kampung Bukit Berlian, Klebang surut sepenuhnya dan pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai dijangka ditutup petang ini.
  • MELAKA - Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 154 orang melibatkan 19 keluarga di daerah Alor Gajah, berbanding 54 orang daripada 15 keluarga setakat pukul 8 malam ini.
  • MELAKA TENGAH - Melaka mencatatkan kutipan hasil sebenar sebanyak RM370.3 juta dan hasil lebihan kira-kira RM23.57 juta pada tahun lepas.
  • MUAR - Hampir RM6 juta nilai tuntutan dikeluarkan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Muar sepanjang tahun ini kepada 1,856 pencarum.
  • MELAKA - Jumlah kes pengedaran dadah melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, meningkat kepada 79 kes antara 1 Jan dan 14 Jun tahun ini berbanding 50 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.