BATU PAHAT - Persatuan Pembinaan Masjid Jorak Elahi, Bukit Pasir (Permas BP) di sini, mengharapkan lebih ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi membantu pembinaan Masjid Jorak Elahi.

Ini berikutan masjid sedia ada sudah berusia puluhan tahun dan tidak mampu lagi menampung pertambahan jemaah yang semakin ramai terutamanya ketika solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha.

Pengerusi Permas BP, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, masjid yang ada hanya mampu menampung 800 hingga 1,000 jemaah dalam satu-satu masa dan pertambahan jemaah menyebabkan keadaan menjadi sesak.

Justeru katanya, sebuah masjid yang lebih besar diperlukan kerana pihaknya menjangkakan dalam beberapa tahun lagi jemaah mencecah 2,000 orang.

“Kawasan Kampung Jorak Elahi ini terletak di pinggir pusat bandar Batu Pahat dan kini dapat dilihat taman perumahan di sekitar tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan yang mana ada lebih 15 taman perumahan.

“Sekarang ini pun untuk solat Jumaat, ada jemaah terpaksa solat di atas jalan kerana tak cukup ruang,” katanya.

Beliau berkata, jika pembinaan masjid berkenaan berjaya dilaksanakan, ia diyakini dapat memberikan keselesaan kepada jemaah.

Selain itu katanya, pihaknya turut merancang menjadikan masjid lama sebagai balai Islam.

“Kita telah kenal pasti tapak masjid yang baru dan ia dijangka mampu menampung limpahan jemaah di kawasan ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menderma dan berwakaf boleh menyalurkan sumbangan kepada Permas BP melalui akaun CIMB Bank (8008397749) atau Bank Islam (01032010056099).

Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.permasbp.com dan laman Facebook di www.facebook.com/masjidjorakelahi untuk maklumat lanjut.