PONTIAN - Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohd Arifnaim Rosman, 23, terpilih menjadi ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pontian sekali gus meletakkan beliau sebagai yang termuda menjawat jawatan berkenaan dalam parti.

Mohd Arifnaim berkata, beliau terkejut dan bersyukur kerana perwakilan beri mandat kepadanya melalui undi yang dijalankan pada pemilihan Umno yang dijalankan serentak di seluruh negara pada akhir Jun lalu.

Katanya, pemilihan beliau yang merupakan anak muda dalam jawatankuasa Umno bahagian menjadi bukti proses meremajakan yang selama ini dilaungkan dilalui parti.

“Namun jika definisi meremajakan adalah menempatkan orang muda dalam parti ini tidak sepenuhnya membantu gerak kerja parti. Mereka seharusnya mempunyai perancangan untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap Umno.

“Harapan saya adalah mampu membantu Umno dalam usaha mengembalikan kepercayaan orang Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, mandat diberi perwakilan tidak akan dipersia dengan hanya duduki tempat dalam Umno bahagian.

“Sudah tentu saya akan lakukan sesuatu bersama-sama ahli parti. Segala perancangan sedang direncanakan bersama rakan-rakan saya,” katanya.  

Beliau berazam mahu mengajak semua ahli memperkukuhkan parti dengan ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab.

“Kita harus ingat bahawa kita telah kalah PRU14, ini bermakna Umno hari ini adalah seperti di awal penubuhannya.

“Ketika itu nenek moyang kita sanggup bergadai demi menuntut kenikmatan bersama dan generasi hari ini melalui fasa yang sama seperti dahulu,” katanya.