JOHOR BAHRU - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Begitulah yang dilalui oleh Mohd Fairus Othman, 33, apabila dimaklumkan memenangi peraduan yang akan membawanya menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia.

Menerusi peraduan anjuran, Coca-Cola Refreshments Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Kedai Mesra Petronas itu, Mohd Fairus telah memenangi percutian enam hari empat malam ke Rusia bagi menyaksikan temasya bola sepak terbesar dunia itu.

Dia yang bekerja sendiri mengakui  tidak menyangka percubaan suka-sukanya memasuki peraduan tersebut dengan modal sekitar RM5 membawa kejayaan, sekali gus menjadi pemenang kepada hadiah bernilai RM45,000 itu.

“Saya tahu mengenai peraduan ini di Facebook. Mengikut syarat peraduan saya perlu mengambil dan menghantar gambar kreatif bersama minuman Coca-Cola.

“Tanpa berlengah, saya segera mengambil gambar kreatif dan menghantar penyertaan menerusi Instagram. Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan sebagai pemenang peraduan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Fairus berkata, hadiah kemenangan yang diterima itu berupa tiket ekonomi dua hala Kuala Lumpur-Moscow Turkish Airlines, satu tiket perlawanan akhir, penginapan hotel empat bintang selama tiga malam serta pengangkutan di Rusia yang ditanggung penganjur.

“Memang tak sangka rezeki saya menang peraduan ini. Saya cuma suka-suka sahaja memandangkan modalnya kecil tapi tak sangka pula menang.

“Memang banyak peraduan yang menawarkan hadiah ke Rusia untuk sasikan piala dunia tapi saya macam tak percaya pula apabila rezeki ALLAH telah membawa saya untuk ke Rusia menerusi peraduan ini,” katanya.

Katanya, kemenangan mungkin akan jadi pengalaman menarik dalam hidupnya.

Rajin sertai peraduan

Mohd Fairus berkata, sudah menjadi rutin hariannya melayari laman sosial dan akhbar untuk melihat sebarang peraduan sejak dulu lagi.

MOHD FAIRUS.

“Saya anggap ini semua adalah rezeki keluarga dan anak-anak.

“Daripada banyak-banyak peraduan yang disertai, saya pasti akan memperoleh kejayaan dan kebanyakannya adalah hadiah utama,” katanya.

Katanya, dia juga pernah memenangi hadiah menyaksikan Liga Juara-Juara Eropah UEFA di Milan, Itali sebelum ini.   

“Tak lupa juga saya pernah dapat hadiah menyaksikan perlumbaan Moto GP di Valencia, Sepanyol.

“Hadiah-hadiah lain kebanyakannya berupa alat elektrik, baucar beli-belah dan wang tunai,” katanya.

Mohd Fairus berkata, kemenangan tersebut adalah berkat doa dan sokongan isterinya, Noraishah Masram, 33, bersama keluarga dan adik-beradik yang lain.

Menurutnya, kebanyakan hadiah dimenangi digunakan sendiri selain dijual semula, terutamanya alat peranti elektronik kepada mana-mana pihak yang berminat.