JOHOR BAHRU - Penganjuran Mini Agro Johor 2018 dijadikan sebagai pemangkin kejayaan  pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2018 (Maha) yang akan diadakan pada akhir November ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, melihat pada sambutan Mini Agro Johor yang dianjurkan di kawasan Johor Bahru di sini menunjukkan orang ramai yang hadir semakin minat dalam bidang pertanian.

Katanya, Mini Agro Johor 2018 ini adalah pemangkin kejayaan Maha 2018 yang berlangsung antara 24 November hingga 2 Disember nanti.

"Ini sebagai persediaan yang penting sebelum Maha 2018 kerana kita lihat setiap tahun ramainya orang akan hadir ekspo pertanian.

"Ini menunjukkan rakyat yang semakin minat terhadap semua sektor dalam bidang pertanian," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Mini Agro Johor 2018 di Padang (A), Angsana Johor Bahru Mall, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Salahuddin turut berharap inisiatif penganjuran ekspo pertanian dibuat oleh daerah atau negeri lain sebelum berlangsungnya Maha 2018.

"Ini penting supaya dapat menyemarakkan lagi bukan sahaja kepada mereka yang hadir, tetapi kepada anak-anak muda supaya lebih minat menceburi bidang pertanian," katanya.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, Johor menganjurkan dua Mini Agro Johor 2018 dengan Johor Bahru sebagai permulaan sejak kelmarin hingga esok sebelum dianjurkan di Kluang pada 25 hingga 27 Oktober ini.

"Kita turut menganjurkan dua karnival tani di peringkat Dun iaitu di Dun Bukit Pasir pada 27 hingga 29 September dan Dun Permas pada 11 hingga 13 Oktober nanti.

"Penganjuran karnival dan ekspo seumpama ini adalah bagi mendedahkan masyarakat dengan bidang pertanian selain meningkatkan kesedaran kepada pelajar dan golongan muda untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya," katanya.

Salahuddin berkata, ia juga sebagai platform untuk usahawan pertanian dan industri asas tani memasarkan produk mereka selain menghasilkan produk yang lebih baik dan berkualiti dengan berkongsi pendapat serta kemahiran bersama usahawan lain yang turut serta.