SEGAMAT – Umat Islam di daerah ini tidak lagi perlu gusar mengenai kaedah dilaksanakan bagi melupuskan al-Quran dengan kewujudan pusat pelupusan kitab suci berkenaan di Masjid Taman Yayasan, di sini.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij), Burhanuddin Tibek berkata, pusat berkenaan yang dilengkapi kebuk (insinerator), mampu melaksanakan kaedah pelupusan al-Quran mahupun bahan bercetak lain dengan mudah.

“Pembukaan pusat pelupusan menelan kos kira-kira RM40,000 ini, membolehkan orang ramai meletakkan naskhah al-Quran dan ayat-ayat suci yang lain di sini (pusat), sebelum kerja-kerja melupuskan dilakukan oleh pihak masjid.

“Pusat pelupusan ini juga, dapat memastikan kemuliaan naskhah al-Quran dijaga sebelum dilupuskan. Selain itu ia turut dapat mendidik orang ramai untuk melupuskan kitab suci berkenaan dengan cara serta melalui kaedah yang betul,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pelupusan al-Quran di Masjid Taman Yayasan di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Biro Amal Peluk Quran Johor, Fadzil Md Salleh; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jainj, Dr Azman Mohsin dan Pengerusi Masjid Taman Yayasan, Ramli Ramlan.

Menurutnya, mesin tersebut boleh melupuskan bahan sudah diracik seberat lima kilogram dalam masa sete­ngah jam dan proses pelupusan tersebut melibatkan proses pembakaran dan abu dijadikan dalam bentuk kiub sebelum dihanyutkan ke dalam laut.

“Kebiasaannya, kita akan buang abu dalam bentuk kiub ini ke dalam laut kira-kira tiga kali setahun dan kita mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) untuk proses pembuangan abu ini.

“Terbaru, pada 10 Ogos lalu kita buang sebanyak 178kg abu ini di Pulau Tinggi, Mersing dengan melarutkan menggunakan kaedah selaman dan selain di Mersing, kita turut membuang abu al-Quran ini di Pulau Merambong, Selat Tebrau,” katanya.

Katanya, sehingga kini, setiap daerah di negeri ini kecuali Tangkak mempunyai mesin relau pelupusan al-Quran, selain melihat mesin berkenaan sebagai keperluan memandangkan terdapat masalah menghapuskan kitab-kitab tersebut sebelum ini terutama kosnya tinggi.

Katanya, paling utama, mesin ini juga dapat memastikan semua penerbitan al-Quran lama dapat dilupus mengikut hukum syarak tanpa menimbulkan sebarang keraguan dalam kalangan umat Islam mengenai pelaksanaan proses tersebut.