PAGOH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk memperkasakan aspek keselamatan dalam kehidupan masyarakat sebagai menjamin kesejahteraan hidup secara majmuk.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penekanan itu adalah penting untuk dilaksanakan khususnya melalui penubuhan jawatankuasa yang telah dibentuk sejak sekian lama.

Menurutnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah tertubuh sebelum ini dilihat banyak memainkan peranan berhubung soal pembangunan berbanding perhatian daripada segi keselamatan.

“Saya sarankan aspek keselamatan dapat dimasyarakatkan dalam erti kata lain kepemimpinan masyarakat diperkasa dengan aspek keselamatan yang memiliki jawatankuasa keselamatan di peringkat negeri dan daerah.

“Malah di kampung juga tertubuh dalam struktur lamanya seperti JKKK tetapi sejak dahulu ia hanya menekankan aspek kemajuan kampung namun aspek keselamatan tidak diberi penekanan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Pagoh di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, penekanan terhadap penglibatan masyarakat akar umbi amat penting bagi mengelak perselisihan faham terutamanya antara kaum.

“Kalau aspek keselamatan itu diperkasakan di pimpinan peringkat bawahan termasuk rakyat biasa, kita berupaya menjamin keselamatan dalam negara ini. Tidak akan timbul permasalahan seperti pergaduhan antara kaum dan sebagainya. Kita dapat membentuk sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Melalui pemerkasaan aspek ini, ia tidak bermakna bahawa segala tenaga yang ada dalam kementerian termasuk anggota pasukan keselamatan seperti polis akan kurang tanggungjawab. Tugas mereka masih kekal, malah lebih dipertingkatkan lagi,” katanya.