BIJAK melantunkan idea ketika berhujah di atas pentas sewaktu di sekolah antara detik yang cukup diingati bagi menggambarkan keberanian Amirudin Shari.

Amirudin yang berasal dari Kampung Asam Kumbang, Benut pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Al-Ulum Kampung Parit Marjunit dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut.

Rakannya, Leman Maulud, 45, berkata, Amirudin mudah didekati dan suka bergaul itu ialah pelajar cemerlang dan aktif dalam kegiatan sukan terutama sepak takraw dan badminton.

“Tak silap, Amirudin pernah dinobatkan sebagai pemidato terbaik Johor sewaktu mewakili SMK Benut dalam satu pertandingan pidato suatu masa dahulu.

“Ketika berusia awal 20an dulu pula dia pernah terlibat dalam pasukan kompang kampung. Memang dia suka main kompang dengan kawan-kawan,” katanya.

Menurutnya, Amirudin kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ke luar negara sebelum balik semula ke Malaysia serta melibatkan diri dalam arena politik.

“Ada saya jumpa Amirudin pada majlis berbuka puasa di surau kampung baru-baru ini dan hari raya pertama saya sempat jumpa dia lagi. Ketika itu saya bersama penduduk kampung mengadakan marhaban raya di rumah ibu bapa Amirudin.

“Dia masih seperti dahulu, seorang yang sangat mesra,” katanya.

Leman berkata, pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor sememangnya sudah dijangka memandangkan beliau mempunyai kewibawaan dan pengalaman yang cukup besar pada usia 38 tahun.

“Sebagai rakan, saya cukup bangga dengan kejayaan Amirudin. Semoga dia terus cemerlang dan sentiasa mengutamakan rakyat dalam mengemudi pentadbiran Selangor,” katanya.

Ibu bapa Amirudin kini di Selangor

Hasrat Sinar Harian untuk bertemu ibu bapa Amirudin di Kampung Asam Kumbang bagaimanapun gagal kerana difahamkan berada di Selangor.

Menurut anak saudaranya, Zaini Iskandar, 48, ibu bapa Amirudin, Shari Mohsin, 65 dan Uraine Parmin, 50, bertolak ke Selangor sebelum majlis angkat sumpah Menteri Besar dilakukan, tiga hari lalu.

Pak cik Shari ialah pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan selepas bersara pak cik Shari pernah bawa teksi di Benut tapi sekarang dia sudah tak memandu teksi lagi.

“Amirudin anak kedua daripada enam beradik. Adik bongsunya  berusia 20 tahun tinggal bersama ibu bapanya di kampung,” katanya.

Zaini berkata, tidak sukar untuk bertemu Amirudin kerana dia kerap kali pulang ke kampung untuk melawat ibu bapanya.

“Kalau kami berjumpa, dia akan bertanya khabar, memang senang hendak dekati Amirudin. Tak sangka pula dia sudah jadi menteri besar sekarang. Ahli keluarga dan saudara mara sangat bangga dengan kejayaan dia,” katanya.

Kerap beri ceramah di kampung

Sikapnya yang begitu setia dengan perjuangan politik menerusi PKR membuatkan Amirudin tidak kisah untuk naik ke atas pentas memberikan ceramah ketika dia pulang ke kampung.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Pontian, Noor Saiful Amri Suloh berkata, Amirudin kerap dipanggil berceramah ketika pulang ke kampung.

“Amirudin tak pernah menolak pelawaan sebaliknya bersemangat berceramah di atas pentas  disediakan seperti di Kampung Asam Kumbang, Sanglang dan Ayer Baloi.

“Tak hairanlah, Amirudin dikenali di Pontian terutama di kawasan Benut kerana dia kerap menyampaikan ceramah politik,” katanya.

Menurutnya, sebagai seorang rakan yang cukup mengenali Amirudin, dia mengakui kejayaan diperoleh hari ini bukan mudah.

“Saya masih ingat pada tahun 2014, kami pernah sama-sama menunggu di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya sewaktu perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.