JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor sedia bantu penduduk Orang Asli Kuala Masai yang dibelenggu pelbagai isu pampasan berkenaan tanah mereka sejak 2010.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kesediaan itu termasuk mengkaji kronologi kes pampasan agar kerajaan negeri memahami situasi sebenar.

“Sekarang ini, saya tidak nampak lagi kronologi tetapi kalau sudah dapat nanti saya akan memperhalusinya untuk melihat apakah keperluan golongan ini dan mengapa kerajaan lama tidak memenuhinya walaupun mahkamah sudah mengarahkan pampasan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan seramai 320 penduduk masih menunggu pampasan mereka setelah diarahkan berpindah dari Kampung Orang Asli Stulang Laut ke Kampung Orang Asli Kuala Masai pada 1993.

Terdahulu, mereka telah memfailkan saman berhubung kes itu dengan menamakan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli sebagai defendan.

Pada September 2010, mereka memenangi kes terbabit di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan ketiga-tiganya telah diarah untuk memberikan hak ke atas tanah di Kuala Masai kepada komuniti itu serta menilai harga tanah mereka di Stulang Laut bagi tujuan pampasan.

Bagaimanapun, hingga kini perkara itu tidak berlaku.

Osman berkata, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana melibatkan golongan yang berpendapatan rendah.

“Kita akan kaji dahulu dan kalau perlu berjumpa, saya akan berjumpa mereka untuk meminta pandangan.

“Kadang-kadang cerita di sini lain dan pihak sana pula lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJ) kali ke-23, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi KPMNJ,  Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan - Bernama