BATU PAHAT - Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang berlaku di Kilometer 31.5 Jalan Kluang, semalam.

Dalam kejadian jam 5.55 pagi itu, sebuah van terbabas sebelum bergesel dengan sebuah kereta dari arah bertentangan, manakala sebuah lori gagal mengelak kedua-dua kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan antara tiga kenderaan itu mengakibatkan pemandu lori, Salim Baharun, 44, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang maut membawa muatan roti dan berasal dari Parit Sulong tersepit sebelum mayatnya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

“Manakala, pemandu van cedera parah dan pemandu kereta hanya cedera ringan.

“Kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Batu Pahat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Din berkata, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menghubungi pihak berkuasa atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Saya menasihatkan orang awam untuk memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada musim cuti persekolahan ini kerana pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Selain itu, pemakaian tali pinggang dan pemanduan secara berhemah amat diperlukan bagi memastikan kes kemalangan maut dapat dielakkan demi keselamatan bersama,” katanya

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah digigit seekor anjing di hadapan rumah kedai di Taman Banang Height, di sini kelmarin.
  • BATU PAHAT - Lebih sejuta rakyat yang tinggal di 216,000 rumah di kawasan pedalaman bakal mendapat akses internet menjelang 2020 selepas Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan membina 1,000 menara telekomunikasi.
  • BATU PAHAT - “Saya sendiri pun tak pasti, bahagian mana yang menyerupai Datuk Siti Nurhaliza, mungkin kerana dagu saya yang terbelah ini,” kata graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Maisarah Raihana Ramli, 21.
  • BATU PAHAT - Empat remaja yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bentara Luar yang dilaporkan sesat di Hutan Lipur Gunung Soga, di sini lewat petang semalam ditemukan selamat, hari ini.
  • BATU PAHAT - Menyamar sebagai anggota polis yang bertugas meronda bagi mencegah jenayah, namun hakikatnya dia yang melakukan jenayah dengan memperdaya warga emas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.