SEGAMAT - Keputusan Majlis Tertinggi (Umno) yang membuka semua jawatan di setiap peringkat untuk dipertandingkan merupakan satu berita positif yang harus diterima baik ahli-ahli Umno.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, ia mampu menjadi langkah pertama untuk mengembalikan keyakinan orang muda kepada dan memulihkan parti dengan mengangkat pemimpin benar-benar layak.

“Umno mempunyai ahli lebih tiga juta di seluruh negara dan sesiapa sahaja terpilih seharusnya menjadi refleksi sokongan rakyat yang sebenar. Jika disekat, kita tidak dapat gambaran sebenar tentang sokongan ahli kepada pemimpin.

“Berhentilah mewarisi amalan-amalan negatif melarang jawatan presiden dan naib presiden untuk tidak dipertandingkan. Ini amalan tidak sihat. Jika pemimpin tidak diuji, kita juga tidak dapat mengukur sokongan rakyat kepada parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemilihan parti terbuka ini juga akan memberi ruang dan peluang terbaik untuk ahli-ahli Umno di seluruh negara untuk meletakkan barisan kepimpinan berwibawa sebagai pembangkang.

Katanya, memang benar parti perlu didisiplinkan, namun kepimpinan di peringkat tertinggi juga harus sentiasa berdisiplin kerana sistem demokrasi di negara ini merupakan amalan memilih berkait rapat dengan ‘semak dan imbang’.

“Selepas selesai proses pemilihan pemimpin tertinggi Umno, BN harus merangka barisan ‘Kabinet bayangan’ agar tugasan ‘semak dan imbang ini dijalankan. Rakyat Malaysia pasti menerima baik kerangka ini kerana tanggungjawab memilih kerajaan adalah di tangan mereka.

“Kita harus bermuhasabah di atas kegagalan teruk pada PRU14 ini dan saya percaya Umno akan terus relevan untuk membantu orang Melayu dan Islam dengan kepimpinan-kepimpinan baharu yang lebih layak,” katanya.

Pada Selasa lalu, Naib Presiden Umno yang kini menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua jawatan yang ada mengikut Perlembagaan Umno terbuka dan bebas untuk dipertandingkan.

Menurutnya, jawatan yang akan dipertandingkan tersebut termasuk presiden, timbalan, naib-naib dan ketua sayap pada pemilihan parti akan datang selain telah menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan, wanita, pemuda serta puteri akan bermula pada 19 Mei hingga 10 Jun ini.

Mesyuarat Umno di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.