JOHOR - Dua peniaga rokok elektronik atau vape dikompaun selepas didapati menjual perisa cecair rokok berkenaan tanpa lesen di sebuah premis di Taman Sri Tengah, di sini, 13 Jun lalu.

Kompaun itu dikenakan terhadap lelaki berusia 25 dan 30 tahun dalam satu serbuan oleh Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) kira-kira jam 9 malam selepas menerima aduan daripada orang awam.

Ketua Jabatan Penguat-kuasaan dan Keselamatan MPK, Raja Abu Bakar Raja Yahya berkata, sebelum serbuan berkenaan, 18 anggota Skuad Elit MPK diketuai Sarjan Nik Ekbar Effendi Nik Sazali terlebih dahulu menyerbu sebuah rumah kedai di Batu 4.

“Rumah kedai itu dipercayai dijadikan markas jualan barang-barang berkaitan tapi ketika pemeriksaan dilakukan kedua-dua lelaki berkenaan pada mulanya tidak mengaku menjual barang-barang tersebut serta memberi alasan ia untuk kegunaan sendiri serta kawan-kawan sahaja.

“Bagaimanapun, ketika siasatan dilakukan kita menemui transaksi pembelian dan selepas itu barulah mereka mengaku menjual kepada pelanggan yang dikenali sahaja,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan juga mendapati tiada permit yang diluluskan ke atas rumah kedai satu tingkat itu menjalankan sebarang aktiviti jualan.

“Kedua-dua lelaki berkenaan didenda RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Industri dan Perniagaan MPK 2016. Tindakan menutup premis dan menyita barang-barang jualan milik dua lelaki berkenaan turut dilakukan selain meminta mereka datang ke MPK untuk siasatan lanjut.

“Antara barang yang disita adalah 66 botol pelbagai perisa cecair vape, kotak Coil 8 unit, tangki tambahan 8 unit, kapas 10 bungkus dan pelbagai alat kelengkapan untuk membaiki vape,” katanya.

Raja Abu Bakar berkata, MPK akan memantau beberapa premis yang dipercayai turut melakukan jualan sama di kawasan pentadbiran MPK sebagai usaha menghentikan terus kegiatan berkenaan.

“Kita berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jualan yang tidak mendapat permit atau kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan sewajarnya dapat dilakukan,” katanya.