JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan sebuah kapal asing selepas didapati melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di Perairan Tanjung Piai, dekat sini.

Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan, Kapten Maritim Ibrahim berkata, pihaknya berjaya mengesan kapal berkenaan dalam satu operasi kira-kira jam 3.15 petang, kelmarin.

Menurutnya, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati kapal berkenaan telah gagal untuk memaklumkan ketibaannya dalam perairan Malaysia, bersauh di luar batas pelabuhan dan gagal untuk membayar dius api.

“Ketua jurutera dan beberapa kru kapal turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Wilayah Selatan, di sini, untuk siasatan lanjut dilakukan.

“Hasil siasatan lanjut terhadap kapal yang didaftarkan di Singapura itu mendapati terdapat 25 kru warga India berumur antara 20 hingga 53 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, kapal berkenaan boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 491B (1) (l), Sek. 449, Akta Perkapalan Saudagar 1952 dan Sek. 3, Akta Dius Api Persekutuan 1953.