JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Zon Maritim Batu Pahat menahan empat bot perdagangan semasa menjalankan operasi khas kapal kecil bukan konvensyen, semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, operasi yang turut dikenali sebagai Ops Jaksa itu melibatkan dua bot ronda dengan 12 anggota.

Menurutnya, semua bot perdagangan terbabit dikesan di kawasan 0.7 hingga 0.25 batu nautika Pulau Sialu ketika dalam rondaan rutin operasi di sepanjang perairan Selat Melaka.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, semua nakhoda bot tersebut gagal mengemukakan insurans bot ‘barter trade’.

“Maritim Malaysia memandang serius perkara ini dan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas bot-bot yang berada di perairan ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara,” katanya, semalam.

Mohammad berkata, semua bot terbabit yang ditahan antara jam 3.45 ke 6 petang itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat.

Katanya, kes itu kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Batu Pahat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance) MSO 1952.