JOHOR BAHRU - Kira-kira 40 mangsa daripada 17 keluarga yang terbabit dalam insiden kebakaran enam buah rumah di Kampung Melayu Pandan, kelmarin tidak ketinggalan menerima sumbangan daripada Parlimen Pasir Gudang. Ahli Parlimennya, Datuk Normala Abdul Samad berkata, dalam kejadian berkenaan mangsa yang mendiami kawasan tersebut hilang segalanya termasuk pakaian seharian.

Bagaimanapun, jelasnya, tidak semua mangsa adalah warga tempatan kerana sebilangan besar daripadanya adalah warga asing yang menyewa di kawasan terbabit. “Parlimen Pasir Gudang ada memberi sedikit bantuan berupa wang tunai, pakaian memandangkan mereka tinggal sehelai sepinggang selain makanan.

Normala melihat kesan kebakaran enam rumah di Kampung Melayu Pandan, kelmarin.

“Dari segi bantuan membina rumah, kita akan teliti dahulu dan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Bahagian Perumahan dan keutamaan diberikan kepada keluarga yang kecemasan serta memerlukan tempat perlindungan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), Mohd Khatim Othman, berkata, hanya empat keluarga yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Pandan, manakala selebihnya menetap di rumah saudara terdekat. “Kawasan yang terjejas ini adalah setinggan dan kebanyakannya didiami oleh pendatang asing. 

“Tanah mereka duduki itu juga tidak memiliki geran selain ada pihak ketiga yang menyewa, jadi bantuan bina semula rumah tidak boleh dilakukan,” katanya. Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak enam rumah separa kekal (setinggan) di Jalan Imam, Kampung Melayu Pandan, hangus dalam satu kejadian kebakaran kira-kira jam 6.30 petang.