KULAI - Umno Johor berjaya membantu membawa pulang seorang kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terkandas di Lapangan Terbang Sapporo, Jepun sejak Rabu lalu selepas negara itu dilanda ribut taufan Jebi dan gempa bumi.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Samsul Bahari Jamali berkata, Nordziakon Husnan, 32, yang menetap di Bandar Putra, selamat tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, kira-kira jam 8.15 pagi pagi, hari ini.

“Maklumat kejadian yang menimpa Nordziakon sampai kami melalui rakannya. Kami bersyukur dia selamat tiba di tanah air walaupun difahamkan dia sedikit trauma akibat kejadian itu.

“Alhamdulillah berkat hubungan dengan pelbagai pihak,  Nordziakon dapat kembali untuk teruskan perjalanan dan sampai ke Malaysia walaupun berdepan dengan cabaran,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Kerja Umno negeri, Pandak Ahmad di LTAS, di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga turut bersyukur tiada kecederaan fizikal dialami selepas mangsa berdepan pelbagai masalah termasuk tiada penerbangan akibat cuaca tidak menentu.

“Pada saya, kita lebih bersyukur lagi kerana Nordziakon tidak terlibat dengan kemalangan fizikal sewaktu taufan dan gempa bumi yang melanda. Terima kasih kepada semua pihak kerana membantu dan kami berusaha setakat yang terdaya juga,” katanya.