JOHOR BAHRU - Sebuah lagi pusat pemindahan  sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 14 orang daripada tiga keluarga di Kampung Perepat setelah Daerah  Kota  Tinggi  dilanda  banjir petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata dengan pembukaan PPS itu,  jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 1,122 orang daripada 306 keluarga setakat 5 petang tadi, melibatkan daerah Mersing, Segamat dan Kota Tinggi.

"Seramai 1,005 orang daripada 281 keluarga di Mersing berada di tujuh PPS petang ini manakala 103 orang daripada 22 keluarga berada di empat PPS di Segamat.

Empat belas orang daripada tiga keluarga berada di satu PPS di Kota Tinggi iaitu Balai Raya Kampung Perepat yang mula beroperasi pada 1.30 tengah hari tadi," katanya menerusi kenyataan.

Ayub berkata kesemua mangsa banjir di Mersing merupakan penduduk dari Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, Kampung Orang Asli Labong dan Kampung Air Merah yang terjejas secara berperingkat mulai dua hari lepas.

Beliau berkata mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, SK Air Papan, Sekolah Agama Pengkalan Batu, Sekolah Agama Mersing Kanan, SK Labong, Balai Raya Kampung Air Merah dan Balai Raya Kampung Benaung.

Katanya, di Segamat, kesemua mangsa banjir itu merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh dan Kampung Tekam yang ditempatkan di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, Balai Raya Kampung Pogoh Tengah, Kompleks Penghulu Mukim Pogoh dan Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam.

Ayub berkata Jalan Telok Arong di Mersing masih ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing/Endau-Jalan Air Papan.

Laluan ke Kampung Batu 7 di Jementah, Segamat turut terputus hubungan akibat dinaiki air dan pemantauan sedang dilakukan berterusan oleh agensi berkaitan serta pejabat daerah. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).