ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) masih meneruskan bantuan dermasiswa dan pinjaman kepada pelajar Johor yang melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan.

Exco Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, bantuan dermasiswa pelajaran disediakan untuk pelajar pengajian Islam dengan jumlah RM6,000 setahun bagi pelajar di Mesir manakala RM8,000 bagi pelajar di Jordan.

"Pelajar bidang perubatan dan pergigian pula, mereka menerima pinjaman pelajaran RM30,000 setahun untuk enam tahun pengajian," katanya menjawab soalan Abdullah Husin (Pas-Puteri Wangsa) mengenai bantuan yang diberi kerajaan Johor bagi membantu pelajar Johor di luar negara seperti Mesir, pada Persidangan Dun Johor di sini hari ini.

Abd Mutalip berkata, bantuan masih diteruskan termasuk pemberian kepada permohonan pelajar baru walaupun beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah membekukan permohonan kepada pelajar baru.

Beliau berkata, pemberian bantuan berkenaan tertakluk kepada kuota yang ditetapkan kerana perbelanjaan MAINJ juga perlu mengambil kira lain-lain keperluan asnaf di Johor.

​​​Katanya, secara umumnya, MAINJ memperuntukkan sebanyak RM17.2 juta pada 2018 sebagai bantuan kepada 48,330 pelajar kurang berkemampuan dalam pelbagai kategori dan peringkat pendidikan termasuk pelajar di Mesir dan Jordan.

"Suka untuk dijelaskan bahawa, peruntukan pembiayaan pinjaman pelajaran adalah menggunakan sumber Baitulmal dan bukan zakat manakala bagi bantuan dermasiswa pula, sumber kewangannya adalah daripada asnaf miskin bagi pelajar kurang berkemampuan dan sumber fisabilillah bagi pelajar di luar garis kemiskinan," katanya.

Menurut Abd Mutalip, secara umumnya MAINJ memperuntukkan RM17.2 juta tahun depan sebagai bantuan kepada 48,330 pelajar kurang berkemampuan dalam pelbagai kategori dan peringkat pendidikan di negeri ini termasuk bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KETENGAH JAYA - Kerajaan menerusi Bank Negara dan Agro Bank meluluskan pinjaman tanpa slip gaji bagi memberi peluang kepada golongan belia memiliki kediaman sendiri.
  • MUAR - Seorang bapa terpaksa membuat pinjaman dengan ah long demi memastikan anak sulungnya mampu menamatkan pengajian dalam bidang perubatan.
  • MARANG - Polis dengan kerjasama Majlis Daerah Marang (MDM) dan Pertubuhan Warisan iaitu sebuah badan bukan kerajaan serta penduduk bertindak menurunkan sebanyak 860 iklan pinjaman wang haram atau ah long di sekitar daerah ini.
  • IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan penerima skim pinjaman Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) agar tidak menggunakan wang pinjaman untuk melangsaikan hutang.